IOI selesaikan hampir semua isu buruh, bakal lantik juruaudit dalam masa terdekat - AmInvest | DagangNews Skip to main content

IOI selesaikan hampir semua isu buruh, bakal lantik juruaudit dalam masa terdekat - AmInvest

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Sept. - IOI Corporation Berhad difahamkan telah menyelesaikan hampir semua tuduhan tuduhan isu buruh yang dilontarkan oleh pakar hak asasi pekerja, Andy Hall dan Finnwatch.

 

Perkara itu didedahkan oleh penganalisis di AmInvestment Bank, Gan Huey Ling yang turut menjelaskan bahawa IOI mungkin mengumumkan pelantikan juruaudit bagi amalan buruh syarikat tidak lama lagi. 

 

“Di bawah fasa 1 proses audit, IOI akan mengemaskini dasar buruhnya. Di bawah fasa 2, juruaudit akan melaksanakan semakan secara fizikal di beberapa ladang kelapa sawit IOI di Malaysia. 

 

“IOI juga telah menganjurkan forum kemampanan, antaranya dengan wakil daripada agensi buruh kerajaan, Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) dan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO).

 

“Forum itu dipengerusikan oleh BSR, sebuah organisasi pakar perniagaan mampan antarabangsa,” jelas Huey Ling dalam satu nota kajian.

 

Difahamkan, IOI juga bakal menyaksikan sekitar 80% daripada pekerja di ladangnya akan lengkap divaksin menjelang akhir Oktober 2021.

 

Sebelum ini, IOI mengambil maklum mengenai surat yang dikeluarkan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) yang membuka siasatan terhadap syarikat itu atas dakwaan penggunaan buruh paksa.

 

IOI menjadi syarikat Malaysia seterusnya yang berdepan dakwaan penggunaan buruh paksa oleh CBP AS selepas perkara sama menimpa Top Glove Corporation Berhad, Sime Darby Plantation Berhad dan FGV Holdings Berhad. 

 

Dalam masa sama, IOI juga dikatakan berdepan kekurangan tenaga buruh sebanyak 9%, yang lebih ketara di Semenanjung Malaysia berbanding Sabah, dakwa Huey Ling. 

 

Bagi menangani isu berkenaan, katanya, IOI akan mempercepatkan mekanisasi pengeluaran buah dari ladang kelapa sawit yang terletak di Semenanjung Malaysia.

 

Secara keseluruhannya, AmInvest mengekalkan saranan ‘pegang’ ke atas saham IOI dengan nilai wajaran tidak berubah pada kadar RM4.20 sesaham. - DagangNews.com