NEW YORK 13 Okt. - Sejak minggu lalu tular berita berkaitan dengan majlis pelancaran iPhone 12 oleh syarikat Apple Inc (Apple) yang bakal berlangsung hari ini.
Produk terbaharu itu dijangka akan dilengkapi dengan jaringan teknologi generasi kelima (5G).
Menurut ramalan penganalisis teknologi global, jaringan 5G yang ditampilkan itu mampu meningkatkan pemprosesan 'supercycle' iPhone.
5G adalah teknologi rangkaian tanpa wayar generasi hadapan yang dapat mengubah cara hidup dan pekerjaan orang ramai.
Teknologi berkenaan bergerak lebih pantas dengan kemampuan jalur lebar yang lebih besar berbanding rangakaian 4G LTE yang ada.
Kelebihan tersebut memberi kepantasan ketika memuat turun video serta pengalaman yang lebih baik bersama beberapa perkhidmatan lain seperti 'augmented reality' dan permainan langsung.
Bagaimanapun, kepantasan dalam memuat turun video menerusi iPhone 5G akan berbeza-beza mengikut faktor tempat tinggal pengguna, pembekal sel, potensi dan model iPhone yang digunakan.
Beberapa syarikat yang membangunkan teknologi 5G memberitahu, teknologi berkenaan kebanyakannya digunapakai di kawasan bandar yang menggunakan spektrum 'jalur tinggi' yang mampu memberikan kelajuan yang lebih tinggi berbanding 4G.
Namun, rangkaian 5G juga memerlukan lebih banyak infrastruktur fizikal di sesuatu kawasan untuk berfungsi dengan lebih baik.
Senario berkenaan disebabkan oleh isyarat yang diterima oleh 5G tidak meluas menggunakan spektrum jalur tinggi berkenaan.
Sementara itu, rakan strategi di PwC AS, Daniel Hays berkata, sebilangan pengguna berpendapat pengalaman menggunakan teknologi 5G tidak jauh berbeza dengan penggunaan 4G.
"Bagi sebilangan pengguna, pengalaman menggunakan 5G mungkin seperti 4G.
"Saya rasa apa yang kita lihat dan dengar ketika ini adalah 5G jauh menjangkaui kenyataan yang sebenar.
"Pelancaran rangkaian penuh teknologi 5G mungkin memerlukan lima hingga tujuh tahun lagi," jelasnya. - DagangNews.com