IPO BWYS Group terlebih langganan 48.51 kali | DagangNews Skip to main content

IPO BWYS Group terlebih langganan 48.51 kali

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 11 Julai - Pengeluar produk kepingan logam dan pembekal perancah, BWYS Group Bhd (BWYS) mengumumkan tawaran awam permulaan (IPO) untuk orang awam telah terlebih langgan sebanyak 48.51 kali.

 

IPO BWYS terdiri daripada penawaran 256.3 juta Saham Terbitan, 51.3 juta Saham Terbitan akan disediakan kepada Orang Awam Malaysia melalui proses pengundian; 61.5 juta Saham Terbitan kepada pengarahnya yang layak, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan BWYS (Peruntukan Borang Merah Jambu).

 

Syarikat menerima sejumlah 23,223 permohonan untuk 2,537,940,700 Saham Terbitan bernilai RM558.34 juta daripada orang awam Malaysia, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 48.51 kali.

 

Menurut kenyataan ejen penempatan, Tricor Investor & Issuing House Services Sdn Bhd, Sebanyak 13,205 permohonan untuk 1,222,838,600 saham IPO telah diterima bagi bahagian Bumiputera, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 46.71 kali. 

 

Bagi bahagian awam, sebanyak 10,018 permohonan untuk 1,315,102,100 Saham IPO telah diterima, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 50.31 kali.

 

Di samping itu, 61.5 juta saham IPO yang disediakan untuk permohonan oleh pengarah, pekerja dan individu yang layak yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan juga telah dilanggan sepenuhnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: BWYS Group sasar kumpul RM56.4 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

BWYS
BWYS merupakan pengeluar kepingan logam terrmasuk bumbung. -Gambar BWYS

 

Sebanyak 128,151,700 juta saham IPO ditawarkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta 15,377,700 Saham Terbitan dan 100,000,000 Saham Tawaran menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih telah diletakkan sepenuhnya.

 

BWYS dijadual disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada 22 Julai 2024, dengan M&A Securities sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk pelaksanaan IPO.

 

BWYS, melalui anak syarikatnya, terlibat terutamanya dalam pembuatan produk kepingan logam yang terdiri daripada kepingan bumbung dan kekuda, sistem rak industri dan paip dikimpal. 

 

Selain itu, Kumpulan juga terlibat dalam pembekalan perancah, serta perdagangan bahan keluli dan produk berkaitan keluli.

 

Di luar pasaran domestik, Kumpulan mengeksport produknya ke Amerika Syarikat dan negara lain termasuk Singapura, Indonesia, Australia, Bangladesh, Filipina, Emiriah Arab Bersatu dan Brunei. - DagangNews.com