IPO Cloudpoint terlebih langgan sebanyak 112.94 kali | DagangNews Skip to main content

IPO Cloudpoint terlebih langgan sebanyak 112.94 kali

 

KUALA LUMPUR 18 Mei - Cloudpoint Technology Bhd, yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, menyaksikan tawaran harga permulaannya (IPO) terlebih langgan sebanyak 112.94 kali oleh orang awam Malaysia.

 

Dalam satu kenyataan, Tricor Investor & Issuing House Services Sdn Bhd (TIIH), mewakili Cloudpoint, berkata terdapat 36,608 permohonan untuk 3.03 bilion saham baharu bernilai RM1.15 bilion diterima daripada orang awam Malaysia.

 

“Sejumlah 20,448 permohonan untuk 1.35 bilion saham baharu diterima daripada Bumiputera, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 100.74 kali.

 

“Manakala bagi bahagian orang awam pula, sebanyak 16,160 permohonan untuk 1.68 bilion saham baharu telah diterima, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 125.14 kali.

 

“13.29 juta saham yang tersedia untuk pengarah dan pekerja yang layak juga telah dilanggan sepenuhnya,” katanya.

 

Sementara itu, TIIH berkata penempatan persendirian 66.45 juta saham baharu kepada pelabur Bumiputera telah diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan 53.16 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih telah dikeluarkan sepenuhnya.

 

Cloudpoint adalah syarikat penyedia penyelesaian teknologi maklumat (IT) dalam rangkaian perusahaan dan pusat data, keselamatan siber, perkhidmatan awan dan penyelesaian aplikasi perisian.

 

Di bawah penyenaraian itu, Cloudpoint menyasarkan untuk mengumpul kira-kira RM40.4 juta daripada IPO sebanyak 159.48 juta saham, termasuk 53.16 saham sedia ada, pada harga terbitan 38 sen sesaham.

 

Daripada IPO yang diperoleh, RM13.3 juta telah diperuntukkan untuk pengembangan perniagaan manakala RM15.8 juta akan digunakan untuk modal kerja, RM7.8 juta untuk pemindahan pejabat dan baki RM3.5 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

 

M&A Securities Sdn Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO ini.

 

TIIH berkata notis peruntukan akan dimaklumkan kepada semua pemohon yang berjaya pada atau sebelum 25 Mei 2023. -DagangNews.com