IPO Evergreen Max Cash Capital terlebih langgan sebanyak 53.06 kali | DagangNews Skip to main content

IPO Evergreen Max Cash Capital terlebih langgan sebanyak 53.06 kali

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Sept - Tawaran awam permulaan (IPO) Evergreen Max Cash Capital Berhad (EMCC) telah terlebih langgan sebanyak 53.06 kali.

 

EMCC telah menerima sejumlah 14,568 permohonan untuk 3.01 bilion saham dengan nilai RM722.6 juta untuk 55.7 juta saham yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, mewakili kadar lebihan langganan keseluruhan sebanyak 53.06 kali.

 

Bahagian awam Bumiputera, terdapat 4,596 permohonan untuk 656.8 juta saham, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 22.58 kali.

 

Sementera itu, bahagian awam bukan Bumiputera, terdapat 9,972 permohonan untuk 2.35 bilion saham, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 83.53 kali.

 

Sejumlah 27.9 juta saham baharu yang disediakan untuk permohonan oleh pengarah yang layak, pekerja serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan EMCC telah dilanggan sepenuhnya.

 

Sementara itu, 44.6 juta saham baharu dan 43 juta saham sedia ada yang disediakan melalui penempatan kepada pelabur terpilih juga telah dilanggan sepenuhnya.

 

Selain itu, 139.4 juta saham baharu yang disediakan melalui penempatan kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian juga telah dikeluarkan sepenuhnya.

 

Notis peruntukan akan dihantar kepada semua pemohon yang berjaya pada atau sebelum 22 September 2023.

 

Pengarah Eksekutif yang juga  Pengarah Urusan Kumpulan EMCC, Datuk Low Kok Chuan berkata, pihaknya gembira dengan sabutan yang menggalakkan itu dan ia menunjukkan pasaran positif terhadap prospek industri.

 

Beliau berkata, pihaknya bersedia untuk mempercepatkan rancangan pertumbuhan dan mengembangkan lagi operasi mereka dalam industri pajak gadai

 

"Sebahagian besar daripada hasil IPO kami akan digunakan sebagai modal tunai untuk perniagaan pajak gadai kami dan untuk membuka pajak gadai 'Pajaking' baharu. 

 

"Ini akan membolehkan kami memperoleh bahagian pasaran yang lebih besar serta meningkatkan keterlihatan jenama kami," katanya.

 

Syarikat itu dijangka disenaraikan di pasaran ACE Bursa Malaysia pada 26 September ini dan Mercury Securities merupakan penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO. - DagangNews.com