IPO Glostrext terlebih langgan sebanyak 173.54 kali | DagangNews Skip to main content

IPO Glostrext terlebih langgan sebanyak 173.54 kali

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Tawaran awam permulaan (IPO) Glostrext Berhad telah terlebih langgan sebanyak 173.54 kali.

 

Pembekal perkhidmatan instrumentasi geoteknikal itu dalam satu kenyataan berkata, sejumlah 18,730 permohonan bagi mendapatkan 3.55 bilion saham baharu bernilai RM674.94 juta, diterima daripada orang ramai Malaysia untuk 20.35 juta saham baharu yang disediakan untuk langganan awam.

 

Katanya, bahagian saham awam Bumiputera terlebih langgan sebanyak 189.11 kali, selepas sejumlah 11,756 permohonan untuk 1.93 bilion saham baharu diterima.

 

Bagi bahagian awam yang selebihnya, sebanyak 6,974 permohonan untuk 1.62 bilion saham baharu telah diterima, yang mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 157.97 kali.

 

Sementara itu, 10.18 juta saham baharu untuk pengarahnya yang layak, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan juga telah dilanggan sepenuhnya.

 

Kumpulan itu berkata, ejen penempatannya mengesahkan bahawa 91.58 juta saham yang disediakan untuk permohonan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih telah dikeluarkan sepenuhnya.

 

Pengarah Urusan Glostrext, Dr. Lee Sieng Kai berkata, syarikat itu berharap dapat mewujudkan kesedaran yang lebih tinggi untuk perkhidmatan instrumentasi geoteknikal menggunakan perkhidmatan instrumentasi serta pemantauan struktur dan tanah dalam talian masa nyata yang dibangunkan sendiri iaitu platform Glostrext WiNA.

 

“Apabila bandar besar seperti Singapura dan Kuala Lumpur menjadi lebih maju, bangunan, infrastruktur serta kemudahan yang siap memerlukan pemantauan, kerana ia melibatkan keselamatan awam seperti laluan dan terowong MRT.

 

"Penderia dan instrumen akan memberikan kuasa besar untuk mengukur sesuatu tentang dunia yang anda tidak dapat mengesan hanya dengan deria manusia," katanya.

 

Glostrext dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 15 Ogos ini dan M&A Securities merupakan penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO. - DagangNews.com