Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Mac. - Cadangan syarikat pengeluar sarung tangan getah terkemuka, Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) untuk menerbitkan hingga 1.5 bilion saham baharu dengan dwi penyenaraian di Papan Utama Bursa Saham Hong Kong (HKEX) dilihat sebagai langkah positif kepada profil antarabangsanya.
MIDF Research berkata, cadangan itu adalah langkah korporat yang diambil syarikat berkenaan untuk tampil sebagai syarikat yang lebih kukuh.
"Kami berpendapat kesan kecairan dalam jangka pendek mungkin sedikit negatif dan mungkin diimbangi oleh prospek industri dan kecekapan operasi yang lebih baik.
"Bagi jangka masa panjang, kami berpendapat bahawa penyenaraian di Bursa Saham Hong Kong itu adalah langkah yang diambil syarikat untuk meningkatkan lagi profil di peringkat antarabangsa.
"Kami menganggap ia sebagai salah satu langkah korporat yang diambil syarikat untuk merealisasikan impian menjadi syarikat Fortune Global 500 menjelang 2030," jelas MIDF Research.
Tambah MIDF Research lagi, dana yang dikumpulkan dapat digunakan untuk mempercepatkan proses pengembangan kapasiti, meningkatkan profil ESG sekali gus mendigitalkan prosesnya.
Minggu lalu, Top Glove menyasarkan untuk mengumpul sehingga RM7.8 bilion dalam tawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Saham Hong Kong.
Di bawah cadangan dwi penyenaraian utamanya, penyenaraian itu akan melibatkan 1.5 bilion saham baharu pada harga terbitan yang akan ditentukan nanti.
Sementara itu, CGS-CIMB Research berkata, cadangan tersebut dilihat sebagai satu keputusan yang negatif bagi pihaknya pada ketika ini.
Jelas CGS-CIMB Research, cadangan tersebut dijangka akan mengurangkan jangkaan perolahan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023 sebanyak 11.2% hingga 15.1%.
Sementara menunggu pemakluman lanjut, CGS-CIMB Research tidak membuat sebarang perubahan terhadap EPS tahun kewangan 2021 hingga 2023 bersama harga sasaran sesaham (TP) yang lebih rendah kepada RM7.80. - DagangNews.com