IPO KGW Group terlebih langgan sebanyak 50.45 kali | DagangNews Skip to main content

IPO KGW Group terlebih langgan sebanyak 50.45 kali

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Julai - Tawaran awam permulaan (IPO) KGW Group Berhad telah terlebih langgan sebanyak 50.45 kali.

 

IPO penyedia perkhidmatan logistik termasuk perkhidmatan pengangkutan laut, perkhidmatan pengangkutan udara dan perkhidmatan penghantaran barang serta pergudangan dan pengedaran produk dan peranti berkaitan penjagaan kesihatan itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 79 juta saham terbitan yang disediakan untuk permohonan.

 

Pengarah Urusan KGW, Roger Wong berkata, permohonan sebanyak 24.1 juta saham terbitan tersedia untuk Orang Awam Malaysia manakala 9.6 juta saham terbitan dikhaskan untuk permohonan oleh pengarah dan pekerja yang layak serta orang yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Sejumlah 7.2 juta saham terbitan adalah melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan 38.6 juta saham terbitan adalah melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) dan tawaran penjualan 43.4 juta saham tawaran melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI. 

 

"Sebanyak 11,329 permohonan untuk 1,241,957,600 saham terbitan dengan nilai RM260,811,096 diterima daripada orang awam Malaysia, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 50.45 kali. 

 

"Daripada kategori Bumiputera, sebanyak 6,868 permohonan untuk 624 juta saham terbitan telah diterima, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 50.74 kali, manakala sebanyak 4,461 permohonan untuk 617.4 juta saham terbitan diterima di bawah kategori awam Malaysia yang lain, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 50.16 kali," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

kgw
Roger Wong

 

Roger mengakui berasa rendah hati dengan sambutan yang menggalakkan daripada pelabur yang berminat dengan KGW.

 

"Ini menunjukkan bahawa kami telah mendapat pengiktirafan positif untuk asas-asas kami yang bertambah baik, dan dengan prospek yang cerah, kami yakin bahawa boleh memacu pertumbuhan kumpulan ke peringkat seterusnya," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Kewangan Korporat TA Securities Holdings Berhad, Ku Mun Fong berkata, sambutan terhadap IPO KGW mencerminkan minat pelabur bagi terhadap asas-asas KGW yang kukuh ditambah dengan prospek pertumbuhan penting dalam ekonomi negara membina industri logistik.

 

"Selanjutnya, dengan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Securities, KGW bersedia untuk meningkatkan prospek dan pertumbuhan keperluan logistik di pelbagai bahagian dunia terutamanya di dalam dan di luar Malaysia. " katanya. 

 

TA Securities, sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan sempena IPO, telah mengesahkan bahawa 28,967,800 Saham Terbitan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih telah ditempatkan sepenuhnya. 

 

Syarikat akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada 1 Ogos 2023. - DagangNews.com