IPO PT Resources Holdings terlebih langgan sebanyak 24.48 kali | DagangNews Skip to main content

IPO PT Resources Holdings terlebih langgan sebanyak 24.48 kali

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Sept - Tricor Investor & Issuing House Services Sdn. Bhd. mengumumkan bahawa tawaran awam permulaan (IPO) PT Resources Holdings Berhad terlebih langgan sebanyak 24.48 kali.

 

Sejumlah 7,947 permohonan untuk 681,510,100 saham baharu dengan nilai RM245,343,636 diterima daripada orang ramai Malaysia yang mewakili keseluruhan lebihan langganan.

 

Bahagian bumiputera menyaksikan sebanyak 4,758 permohonan untuk 309,583,500 saham baharu telah diterima mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 22.15 kali.

 

"Bagi bahagian orang awam pula, sebanyak 3,189 permohonan untuk 371,926,600 permohonan baharu saham telah diterima mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 26.81 kali," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, 13,376,000 saham baharu yang disediakan untuk permohonan pengarah, kakitangan dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan juga telah dilanggan sepenuhnya.

 

Dalam pada itu, ejen penempatan telah mengesahkan bahawa sejumlah 94,873,000 saham baharu yang disediakan untuk permohonan melalui penempatan kepada pelabur terpilih dan pelabur bumiputera terpilih yang diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah dikeluarkan sepenuhnya.

 

"Notis peruntukan akan dimaklumkan kepada semua pemohon yang berjaya pada atau sebelum 23 September 2022," katanya.

 

Mercury Securities Sdn. Bhd. merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO itu. - DagangNews.com