IPO Ramssol dibuka 55.6% lebih tinggi pada 70 sen | DagangNews Skip to main content

IPO Ramssol dibuka 55.6% lebih tinggi pada 70 sen

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ramssol, Cllement Tan Chee Seng (kiri) bersama Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Operasi Ramssol, Lee Miew Lan dalam majlis penyaraian Ramssol di ACE Market Bursa Malaysia pagi tadi.
 

 

 

KUALA LUMPUR 13 Julai - Ramssol Group Bhd., yang membuat kemunculan pertama di ACE Market Bursa Malaysia Securities Berhad pagi ini menyaksikan harga sahamnya dibuka 55.6% lebih tinggi pada 70 sen berbanding 45 sen sebelum ini.

 

Malah, tawaran harga permulaan (IPO) syarikat juga menyaksikan 11.2 juta saham yang tersedia untuk orang awam dilanggan secara berlebihan sebanyak 102.88 kali.

 

Selain itu, sebanyak 5.6 juta saham yang diperuntukkan untuk pengarah, pekerja dan sekutu perniagaan yang layak juga habis dilanggan.

 

Pada masa sama, sebanyak 61.26 juta saham untuk penempatan persendirian membabitkan pelabur terpilih turut habis sepenuhnya.

 

Ramssol, yang merupakan syarikat peneraju dalam penyelesaian pengurusan sumber manusia dan penyedia teknologi mempunyai operasi di Malaysia, Singapura, Thailand, Vietnam dan Indonesia.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Cllement Tan Chee Seng berkata, pelan pengembangan syarikat akan menyaksikan Ramssol bertapak di Filipina sekali gus memperkukuhkan kedudukan di rantau Asia Tenggara.

 

Katanya, permintaan bagi penggunaan digitalisasi dalam pengurusan sumber manusia berkembang secara signikan beberapa tahun kebelakangan ini. 

 

"Seiring dengan perkembangan ini, kami akan memanfaatkan peluang pertumbuhan ini dengan meneruskan inovasi dalam penyelesaian teknologi pengurusan sumber manusia dan komited membantu organisasi melabur dalam strategi pengurusan yang tepat," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Baca : Ramssol sasar kumpul RM25.1 juta daripada IPO, perkukuh kedudukan di Asia Tenggara

 

Syarikat itu akan menggunakan modal terkumpul sebanyak RM25.1 juta daripada IPO menerusi penyenaraian di ACE Market bagi tujuan pengembangan perniagaan syarikat.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak RM2.5 juta akan digunakan untuk meneroka pasaran di Filipina sekali gus mengukuhkan kedudukannya di rantau ini sebanyak RM6.3 juta pula diperuntukkan bagi mengembangkan aplikasi Feet's dan juga platform kerjasama pihak ketiga, Lark di rantau Asia Tenggara.

 

Sebahagian lagi iaitu RM4.1 juta akan digunakan untuk perbelanjaan bagi aktiviti pembangunan dan penyelidikan (R&D), modal kerja (RM7.6 juta) dan perbelanjaan penyenaraian (RM4.6 juta)
 

Kenanga Investment Bank Berhad (KIBB) adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan. - DagangNews.com