IPO syarikat HE Group yang bakal disenarai di Pasaran ACE terlebih langganan 63.35 kali | DagangNews Skip to main content

IPO syarikat HE Group yang bakal disenarai di Pasaran ACE terlebih langganan 63.35 kali

[Foto HE Group]
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Jan - Tawaran awam permulaan (IPO) HE Group Bhd telah terlebih langgan sebanyak 63.35 kali oleh orang ramai Malaysia menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 30 Januari ini.

 

Penyedia perkhidmatan kejuruteraan elektrik itu berkata, 22 juta saham terbitan diperuntukkan bagi orang awam Malaysia menerima sejumlah 12,201 permohonan untuk 1.42 bilion saham terbitan bernilai RM396.37 juta, mewakili kadar terlebih langganan keseluruhan sebanyak 63.35 kali.

 

Bagi bahagian Bumiputeranya, 7,533 permohonan untuk 801.9 juta saham terbitan diterima, iaitu kadar lebihan langganan 71.9 kali.

 

Bagi bahagian awam, sejumlah 4,668 permohonan untuk 613.7 juta saham terbitan diterima, mewakili kadar lebihan langganan 54.79 kali.

 

"11 juta saham terbitan diperuntukkan bagi permohonan oleh pengarah, pekerja dan rakan perniagaan berkelayakan yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan dan anak syarikatnya telah dilanggan sepenuhnya," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan media hari ini.

 

HE Group, melalui anak syarikatnya Hexatech Engineering Sdn Bhd, terlibat terutamanya dalam mereka bentuk, membekal, memasang, menguji dan mentauliahkan sistem pengagihan kuasa pelbagai aras voltan (tinggi, sederhana, rendah dan lebih rendah).

 

Selepas penyenaraian, HE Group akan mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM123.2 juta berdasarkan harga terbitan 28 sen sesaham dan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 440 juta saham.

 

Kumpulan itu menyasarkan menjana kira-kira RM24.3 juta daripada IPO, dengan RM15.13 juta daripadanya akan diperuntukkan untuk keperluan modal kerja.

 

Selain ittu, RM3.65 juta bagi pengembangan perniagaan dari segi liputan industri pengguna akhir, termasuk pusat data dan penubuhan pejabat fizikal di Kedah dan Johor, RM3.8 juta untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian dan baki RM1.75 juta kepada perbelanjaan modal.

 

Alliance Islamic Bank mengesahkan bahawa 44 juta saham IPO yang disediakan untuk permohonan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih telah diambil sepenuhnya.

 

Alliance Islamic Bank Bhd ialah penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal untuk IPO ini.  - DagangNews.com