Ipoh akan wujud kawasan industri baharu dengan Dailan, China | DagangNews Skip to main content

Ipoh akan wujud kawasan industri baharu dengan Dailan, China

Dalian merupakan bandar pelabuhan moden yang penting di timur laut China.
Oleh: ZAKI SALLEH

IPOH 28 April - Sebuah kawasan perindustrian melibatkan kerjasama Perak-China akan diwujudkan di Ipoh menerusi suntikan pelaburan dari negara tembok besar itu.

 

Lokasi bagi Ipoh-Dalian Technology Park ini telah dicadangkan di Chepor dan Khantan.

 

Suntikan pelaburan itu akan dijana menerusi jalinan bandar raya persahabatan antara Ipoh dan Dalian.

 

Dalian yang terletak di semenanjung Liaodong dalam wilayah Lianoing merupakan bandar pelabuhan moden yang penting di timur laut China.

 

Menerusi hubungan ini, China bakal memberi limpahan ekonomi dan pelaburan bukan sahaja di Ipoh tetapi juga Perak secara amnya.

 

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, cadangan tersebut merupakan susulan daripada lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China baru-baru ini.

 

datu bandar
Datuk Rumaizi Baharin (tengah) selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan April di Dewan Mesyuarat MBI di sini.

 

"Kita sudah adakan perjumpaan dengan Datuk Bandar Dalian, beliau ada datang ke Ipoh pada awal April lalu.

 

"Wakil pelaburan mereka juga ada bersama dan mereka bersetuju untuk mewujudkan Ipoh-Dalian Technology Park di kawasan yang dicadangkan di Chepor dan Khantan di sini," ujarnya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan April di Dewan Mesyuarat MBI di sini.

 

Menjelaskan lebih lanjut kata Rumaizi, jangkaan pembinaan taman industri tersebut akan dimuktamadkan setelah perbincangan lanjut dibawa pada peringkat kerajaan negeri.

 

ipoh
Jalinan bandar raya persahabatan antara Ipoh dan Dalian akan memberi manfaat ekonomi.

 

Jelasnya lagi, jika sebelum ini Ipoh lebih cenderung menjalinkan kerjasama dengan Jepun, kini katanya sudah tiba masanya untuk meluaskan kerjasama dengan China.

 

"Pada bulan hadapan delegasi China akan datang  dan saya akan mendengar cadangan yang dibawa termasuk kerjasama yang kita sedang rancang itu.

 

"Kerjasama menerusi bandar raya persahabatan itu sekali gus memantapkan tiga sektor utama yang kita rancang iaitu ekonomi digital, pendidikan serta pelancongan dan budaya," ujarnya. - DagangNews.com