Ipoh tersenarai sebagai Bandar Kreatif Muzik UNESCO, jadi pemangkin dalam kelestarian muzik tempatan | DagangNews Skip to main content

Ipoh tersenarai sebagai Bandar Kreatif Muzik UNESCO, jadi pemangkin dalam kelestarian muzik tempatan

Pengiktirafan sebagai Bandar Muzik UNESCO meletakkan Ipoh dalam peta dunia.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 2 Nov - Bandaraya Ipoh kini berada dalam peta muzik dunia apabila tersenarai dalam Rangkaian Bandar Kreatif (UCCN) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

 

Ipoh bersama 15 lagi bandar-bandar negara lain disenaraikan bagi kategori muzik.

 

Antaranya ialah Banja Luka di Bosnia Herzegovina, Bissau (Guinea), Bolzano (Itali), Caracas (Venezuela), Concepción (Chile) dan Montreux (Switzerland).

 

Kesemua bandar ini termasuk Ipoh diiktiraf sebagai satu daripada 55 bandar baharu yang menyertai UCCN bersempena dengan Hari Bandar Sedunia.

 

Ipoh

Persembahan Malam Ipoh Music Symposium 2022 menampilkan muzik 60an.

 

Ini menjadikan sebanyak 350 bandar daripada lebih 100 negara berada dalam senarai tersebut mengikut kategori masing-masing sejak diperkenalkan pada tahun 2004.

 

Tujuh bidang kreatif itu ialah kraf dan seni rakyat, reka bentuk, filem, gastronomi, sastera, seni media dan muzik.

 

Penamaan sebagai Bandar Muzik UNESCO ini menyaksikan Ipoh mengikut jejak langkah Kuching, Sarawak yang diiktiraf pada November 2021 oleh UCCN bagi kategori gastronomi.

 

Sementara itu, Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) dalam kenyataannya menyifatkan pengiktirafan tersebut akan menjadi pemangkin kepada kelestarian industri muzik tempatan.

 

Ipoh

 

Pengerusi MACP, Datuk M Nasir berkata, pihaknya turut berharap supaya kerjasama strategik dapat digarap bersama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), sebagaimana yang dirancang sebelum ini.

 

"Pihak MACP ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas penganugerahan tertinggi oleh UNESCO yang mengangkat bandar raya Ipoh sebagai Bandar Kreatif Muzik di Malaysia. 

 

"MACP turut berbangga dengan kejayaan Ipoh yang dinobatkan dengan anugerah yang amat berprestij ini dan kami berharap ia dapat mengangkat muzik tempatan ke persada antarabangsa," ujarnya.

 

Tahun lalu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin memberitahu, bandar raya itu dicadang untuk dicalonkan sebagai Rangkaian Bandar Kreatif dalam pengkhususan muzik.

 

Ini bagi menjadikan Ipoh sebagai bandar paling berdaya huni di negara ini.- DagangNews.com