iQiyi jalin kerjasama dengan Media Prima, Celcom | DagangNews Skip to main content

iQiyi jalin kerjasama dengan Media Prima, Celcom

Kesemua judul drama di TV3 akan ditempatkan di satu ruangan khas di aplikasi iQiyi, yang juga boleh diakses melalui pautan www.iQ.com/local

 

 

 

KUALA LUMPUR 23 Mac - iQiyi International mengukuhkan kedudukannya di Malaysia melalui kerjasama strategik dengan  Media Prima dan Celcom Axiata Berhad. 

 

Melalui pencapaian yang amat memberangsangkan pada akhir 2020 dengan mencatat jumlah pengguna lebih 15 kali ganda, iQiyi mempertingkatkan lagi komitmennya untuk melabur dalam ekosistem hiburan tempatan di Malaysia menerusi kerjasama dengan Primeworks Studio.

 

Perjanjian tahunan yang dimeterai bersama Primeworks Studio itu akan memberikan iQiyi keutamaan hak tayangan untuk drama-drama tempatan yang popular terbitan TV3. 

 

Ini termasuklah drama-drama popular utama yang akan boleh distrim di platform iQiyi pada hari yang sama ia ditayangkan di TV3.
 

Kesemua judul TV3 ini akan ditempatkan di satu ruangan khas di aplikasi iQiyi, yang juga boleh diakses melalui pautan www.iQ.com/local

 

Ruangan tontonan tempatan yang diberi nama ‘Local’ ini dijangka mengandungi lebih 1,000 jam senarai tontonan premium tempatan menjelang akhir tahun ini.

 

 

iqiyi
Dinesh Ratnam (dua dari kanan) bersama Nini Yusof (dua dari kiri) dan T.Kugan K. Thirunavakarasu (paling kanan) ketika mengumumkan kerjasama antara iQiyi International bersama Media Prima dan Celcom secara maya hari ini.

 

 

Pengurus iQiyi International Malaysia, Singapura dan Brunei, Dinesh Ratnam berkata, walaupun iQiyi agak baharu dalam bidang penstriman di Malaysia, namun mereka memiliki impian besar bukan sahaja untuk menambah jumlah pengguna, tetapi berhasrat menambah baik katalog tontonan terbaik. 

 

Katanya, ini sekali gus membolehkan mereka menawarkan hiburan yang terbaik dari Asia. 

 

"Kami juga merupakan sebuah platform  penstriman yang paling pesat berkembang di Malaysia sejak lebih 12 bulan lalu. 

 

"Jadi, kerjasama dengan Primeworks Studio dan Celcom merupakan satu langkah yang amat strategik dan merupakan satu sinergi yang bakal membolehkan kami memberikan hiburan mutlak yang terbaik," katanya. 

 

Beliau berkata demikian dalam majlis mengumumkan kerjasama strategik itu secara maya hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Kreatif dan Kandungan Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof dan Ketua Pegawai Perniagaan Celcom, T.Kugan K. Thirunavakarasu. 

 

Melalui kerjasama ini, jumlah penonton iQiyi bagi tontonan drama TV3 ini diperluaskan di Singapura dan Brunei.

 

iQiyi diiktiraf sebagai aplikasi penstriman over-the-top (OTT) yang paling banyak dimuat turun melalui Apple App Store dan Google Play Store antara Ogos 2020 dan Februari 2021.

 

Sementara itu, Nini berkata, kerjasama dengan salah satu penyedia platform penstriman OTT membuktikan komitmen Primeworks Studios dalam membawakan drama berkualiti kepada lebih banyak pengguna. 

 

"Sebagai sebuah syarikat media berintegrasi bersama syarikat pengedar dan penciptaan kandungan terbesar negara iaitu Primeworks Studios, kami percaya usaha sama dengan iQiyi adalah selaras dengan strategi kami untuk memperkembangkan capaian digital kepada lebih banyak pengguna premium bukan sahaja di Malaysia, malah di luar negara," katanya. 

 

Menurut Kugan pula, permintaan untuk kandungan video dan hiburan terus meningkat dengan pantas meliputi lebih 13 juta pengguna melalui rangkaian Celcom yang paling luas pada tahun lalu. 

 

Katanya, pihaknya menyedari keperluan pelanggan yang mahukan produk dan hiburan yang mempunyai nilai tambah, selaras dengan gaya hidup masa kini. 

 

"Bagi memenuhi keperluan ini, kami akan merumuskan pakej eksklusif yang direka khusus dengan senarai tontonan tempatan, Korea dan antarabangsa untuk dinikmati pengguna sama ada di rumah, atau di mana-mana sahaja," tambah beliau. - DagangNews.com