Iran komited kembangkan hubungan dua hala dengan Malaysia khusus dalam sektor pelancongan | DagangNews Skip to main content

Iran komited kembangkan hubungan dua hala dengan Malaysia khusus dalam sektor pelancongan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Feb - Iran komited untuk mengembangkan hubungan dua hala dengan Malaysia dalam pelbagai bidang, khususnya dalam sektor pelancongan.

 

Keduataan Iran dalam satu kenyataan berkata, menjelang sambutan Hari Kebangsaan Iran pada 11 Februari yang menandakan Ulang Tahun Ke-43 Revolusi Islam, pegawai kanan kedua-dua negara telah melihat beberapa peluang untuk mengukuhkan pelancongan dua hala antara Malaysia dan Iran.

 

Katanya, pelancongan dengan dimensi budaya dan komprehensif mewujudkan persefahaman bersama dalam kalangan negara Asia merupakan pendekatan terbaik dalam usaha membentuk masa depan yang cerah.

 

"Selama dua dekad, Malaysia menjadi destinasi pilihan pelancong Iran yang mahu menikmati suasana negara yang indah dan rakyat yang mesra.

 

"Rakyat Iran yang berkunjung ke negara ini mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat dan membangun.

 

"Persamaan antara Iran dan Malaysia adalah penting dalam membentuk hubungan positif dalam usaha mempromoasikan serta mengembangkan sektor pelancongan," katanya dalam kenyataan itu.

 

Kerajaan Iran sudah melakukan usaha bersepadu bagi menarik pelancong ke pelbagai destinasi di negara itu dan jumlah itu meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Iran menyediakan pelbagai bentuk aktiviti daripada mendaki dan bermain ski di pergunungan Alborz dan Zagros, kepada percutian pantai di tepi Teluk Parsi dan Laut Kaspia.

 

Dari segi budaya, Iran kaya dengan sejarah dan memiliki antara tamdun tertua di dunia. - DagangNews.com