Iris Fund, dana hutang teroka pertama di Malaysia untuk bantu biayai syarikat pemula | DagangNews Skip to main content

Iris Fund, dana hutang teroka pertama di Malaysia untuk bantu biayai syarikat pemula

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Dis - Iris Capital Partners Sdn. Bhd. melancarkan Iris Fund iaitu dana hutang teroka pertama di Malaysia yang diterajui oleh syarikat swasta dengan sasaran untuk membantu membiayai syarikat pemula berimpak tinggi di rantau Asia Tenggara.

 

Firma berkenaan merupakan satu daripada lapan pengurus dana modal teroka yang dipilih di bawah program Dana Penjana Nasional (DPN) menerusi Penjana Kapital Sdn. Bhd., milik Kementerian Kewangan.

 

Dana yang diuruskan secara bersama oleh Hanwha Asset Management Co., itu berjumlah RM160 juta dengan modal disumbangkan Penjana Kapital dan beberapa institusi lain.

 

Dana hutang teroka itu memberikan pilihan pembiayaan yang lebih mudah kepada syarikat pemula baharu selain memiliki model perniagaan yang mampu mewujudkan pertumbuhan yang jelas di dalam pasaran.

 

Usaha itu membolehkan syarikat terlibat mengekal pegangan ke atas aset-aset mereka dan pada masa sama memberikan akses kepada pembiayaan yang membolehkan mereka berkembang dalam masa yang lebih singkat.

 

“Walaupun dana ini tidak terhad kepada sektor atau peringkat pendanaan yang tertentu, kami sememangnya mencari syarikat yang mempunyai rancangan dan unjuran perniagaan menyeluruh dengan strategi yang jelas untuk prospek pertumbuhan jangka panjang. 

 

"Dana ini menyasar untuk mempelbagaikan sumber modal untuk syarikat pemula dan membantu mengukuhkan peluang pembiayaan di Asia Tenggara,” kata Pengerusi Iris Fund , Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Rakan Kongsi Iris Fund, Kimo Kim berkata, usaha itu adalah cerminan keyakinan terhadap pertumbuhan di rantau ini dan dana itu adalah permulaan kepada lebih banyak jalinan kerjasama dengan Iris Capital Partners pada masa akan datang.

 

“Dana ini menawarkan lebih banyak akses pembiayaan kepada syarikat pemula dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), dan pada masa sama membolehkan pengasas syarikat terus mengawal pencairan ekuiti syarikat mereka dengan lebih baik," katanya. - DagangNews.com