Iskandar Investment, Cenergi jalin kerjasama percepat penubuhan CBD karbon sifar bersih di Medini  | DagangNews Skip to main content

Iskandar Investment, Cenergi jalin kerjasama percepat penubuhan CBD karbon sifar bersih di Medini 

(Dari kiri) Datuk Idzham Mohd Hashim bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi, Hairol Azizi Tajudin merasmikan kerjasama strategik bagi mempercepatkan penubuhan CBD karbon sifar bersih di Medini
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Mac - Iskandar Investment Berhad (IIB) menjalin kerjasama strategik dengan Cenergi SEA Berhad (Cenergi), anak syarikat UEM Group Berhad untuk mempercepatkan penubuhan daerah perniagaan pusat (CBD) karbon sifar bersih pertama di Medini.

 

Pemaju induk Iskandar Puteri itu berkata, kerjasama terbabit menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam rancangan penubuhan daerah perniagaan pusat (CBD) karbon sifar bersih pertama di rantau ini yang memberi tumpuan kepada pendigitalan, inovasi dan perkhidmatan perniagaan global (GBS) di Medini.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd Hashim berkata, pihaknya teruja untuk bergabung tenaga dengan Cenergi dan memanfaatkan pengalaman luas peneraju sektor tenaga bersih itu dalam rumusan tenaga lestari. 

 

“Kerjasama ini, ditambah dengan usaha kolektif 10 rakan kongsi kami, menandakan detik penting dalam perjalanan kami ke arah mencapai aspirasi sifar bersih Medini. 

 

“Dengan menggabungkan kepakaran kedua-dua syarikat, kami yakin dapat membuat kemajuan besar bagi mewujudkan CBD karbon sifar bersih pertama yang bertumpukan digital, inovasi dan GBS. 

 

“Ini merupakan langkah penting ke arah masa depan yang lebih bersih, lebih hijau, dan kami komited untuk merealisasikan visi ini untuk manfaat generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut IIB, objektif kerjasama itu bertujuan untuk menggabungkan kekuatan IIB dan Cenergi untuk mengusahakan pelbagai inisiatif penerokaan tenaga boleh diperbaharui (RE), termasuk meneroka penggunaan Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) untuk mencapai matlamat kelestarian segera IIB. 

 

Sasaran utama IIB adalah untuk mencapai sokongan penggunaan RE 50% menjelang 2030 merentas semua aset IIB yang akan diteruskan melalui pendekatan serampang dua mata.

 

“Kerjasama akan dimulakan dengan pembelian kira-kira 4,000 REC untuk mengimbangi pelepasan karbon IIB pada masa ini.

 

“Sehubungan itu, Cenergi akan menyediakan sokongan teknikal kepada IIB bagi membangunkan REC sendiri menerusi projek RE pada masa hadapan. 

 

“Inisiatif ini akan membolehkan IIB bukan sahaja mengurangkan jejak karbonnya tetapi juga menjana instrumen boleh niaga yang menyokong pertumbuhan pasaran tenaga bersih,” tambahnya.


Cenergi menjadi syarikat ke-10 yang bekerjasama dengan IBB untuk menubuhkan CBD karbon sifar bersih selepas Maybank, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Nano Malaysia Bhd, Handal Indah Sdn Bhd, Handal Green Mobility Sdn Bhd, Kumpool Sdn Bhd, Yinson Green Technologies (M) Sdn Bhd, GO TO U (M) Sdn Bhd, dan UN Global Compact Network Malaysia dan Brunei (UNGCMYB). - DagangNews.com