KUALA LUMPUR 8 Nov - Iskandar Investment Berhad (IIB) ingin menarik perhatian orang ramai berkenaan skim penipuan atau ‘scam’ yang sedang berleluasa di media sosial terutamanya aplikasi ‘Telegram’.
IIB dalam satu kenyataan hari ini berkata, anggota sindiket atau ‘scammer’ ini menyamar sebagai saluran komunikasi rasmi atau kakitangan IIB untuk menarik orang ramai mengambil bahagian dalam peluang pelaburan palsu.
"Kami ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa IIB mahupun anak syarikat di bawah IIB tidak terlibat sama sekali dalam apa jua cara permintaan wang atau pelaburan daripada orang ramai. Pihak kami ingin menegaskan bahawa penipuan dan skim yang berleluasa ini tidak ada kaitan dengan IIB dalam apa cara sekalipun.
"Kami juga telah membuat laporan polis mengenai perkara ini. Orang ramai digalakkan untuk menyemak laman Facebook Amaran Scam oleh Bank Negara Malaysia (BNM), serta Cyber Crime Alert dan Semak Mule oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk maklumat terkini," katanya.
Menurutnya, IIB menggesa mangsa penipuan tersebut untuk segera membuat laporan di Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), pusat operasi untuk menyelaraskan tindak balas pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian, yang diusahakan oleh BNM, melalui talian khusus, 997 untuk mengelakkan sebarang kerugian selanjutnya.
"Sementara itu, kami menggesa orang ramai agar berhati-hati dan tidak menjadi mangsa skim penipuan ini atau sebarang skim penipuan lain. Marilah kita semua terus berwaspada dan membenteras penipuan sebegini," katanya.
Untuk pertanyaan atau penjelasan lanjut, sila hubungi IIB di talian 07-5353000 atau e-mel di [email protected]. - DagangNews.com