Ismail Sabri hormat pilihan serta mandat yang diberikan rakyat | DagangNews Skip to main content

Ismail Sabri hormat pilihan serta mandat yang diberikan rakyat

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Nov - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghormati pilihan serta mandat yang telah diberikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

 

"Pengundi telah membuat keputusan.

 

"Terima kasih kepada semua pengundi yang menjalankan tanggungjawab mereka mengundi selaras dengan peruntukan perlembagaan.

 

"Semoga Malaysia terus kekal aman dan makmur," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya, hari ini.

 

Ismail Sabri yang juga calon Parlimen Bera mewakili Barisan Nasional berjaya mempertahankan kerusi itu pada PRU15 dengan meraih 31,762 undi menewaskan Abas Awang daripada Pakatan Harapan (15,067 undi) dan Asmawi Harun daripada Perikatan Nasional (12,719 undi)

 

Bagaimanapun, BN hanya meraih 30 kerusi parlimen daripada jumlah keseluruhan 219 yang dipertandingkan pada PRU15.

 

Berdasarkan keputusan rasmi, Pakatan Harapan (PH) memenangi 76 kerusi manakala parti gabungannya DAP di Sarawak mendapat lima kerusi dan MUDA menang satu kerusi, menjadikan keseluruhan 82 kerusi Parlimen diperoleh gabungan itu.

 

Gabungan Perikatan Nasional (PN) dan PAS pula memperoleh 73 kerusi Parlimen selepas masing-masing menang 51 dan 22 kerusi.

 

Selain itu, Gabungan Parti Sarawak  meraih 22 kerusi Parlimen manakala Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan calon Bebas (dua). - DagangNews.com