Ismail Sabri tidak salahkan 12 menteri PN utus surat kepada Agong, faham mereka ikut arahan parti | DagangNews Skip to main content

Ismail Sabri tidak salahkan 12 menteri PN utus surat kepada Agong, faham mereka ikut arahan parti

SHAH ALAM 13 Okt - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, beliau tidak menyalahkan 12 menteri daripada Perikatan Nasional (PN) yang mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan pendirian tidak bersetuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

 

Perdana Menteri berkata, walaupun perbuatan itu disifatkan sebagai tidak wajar, menteri terbabit hanya mengikut arahan parti masing-masing.

 

"Seperti yang dikatakan (Menteri Dalam Negeri) Datuk Seri Hamzah Zainudin, semalam, ia juga adalah hasil keputusan parti. Ini bermakna, dia bergantung pada keputusan parti, ada pengaruh daripada Presiden parti, dan menteri Kabinet daripada BERSATU tidak boleh dipisahkan dengan pengaruh terbabit.

 

"Maknanya, dia menerima arahan daripada Presiden parti. Parti arahkan tulis surat. Walaupun tidak wajar, mereka tulis surat kerana arahan daripada parti. Ini diakui oleh Hamzah, dan tidak salahkan mereka mengikut arahan parti, sebab itu adalah arahan parti," katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pembukaan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), di sini, hari ini.

 

Sementara itu, Perdana Menteri menafikan pembubaran Parlimen dibuat oleh kerajaan disebabkan desakan UMNO.

 

Beliau berkata walaupun terdapat desakan daripada parti UMNO berhubung pembubaran Parlimen selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun kehendak parti itu tidak diikuti perdana menteri.

 

“Kalau ikutkan pandangan daripada parti dah lama, dah lama saya bubar Parlimen. Tengok masa PRN Johor yang kata bubar-bubar, setiap kali perhimpunan pun sebut bubar-bubar.

 

“UMNO dah lama cakap soal pembubaran, cuma masa yang tak sesuai dan saya pun masih belum merancang lagi dari segi tarikh yang tepat.

 

"Tetapi apabila ada isu yang berkaitan dan saya nampak tak boleh nak ‘go on’  (teruskan)  lagi, jadi saya bubarlah,” katanya.

 

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian kepada pemberita selepas ditanya mengenai sama ada pembubaran yang diumumkan itu dilakukan atas desakan parti berkenaan. - DagangNews.com