Ismail Sabri zahir penghargaan pemeteraian perjanjian bersejarah Petronas, ADNOC | DagangNews Skip to main content

Ismail Sabri zahir penghargaan pemeteraian perjanjian bersejarah Petronas, ADNOC

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) ketika mengadakan pertemuan empat mata dengan Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan bagi membincangkan hubungan dua hala termasuk kerjasama di antara Petronas dan ADNOC untuk meneroka peluang baharu di Abu Dhabi pada September 2022.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Dis - Bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan rasa bersyukur susulan pemeteraian perjanjian bersejarah Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Petronas dengan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) untuk meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1 meliputi kawasan konsesi seluas 2,000 kilometer persegi di wilayah Al Dhafra.

 

Ismail Sabri menerusi kenyataan di Facebooknya berkata, beliau menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana memainkan peranan penting dalam projek bersejarah itu.

 

Beliau berkata, Baginda telah memulakan perbincangan awal dengan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

 

"Alhamdulillah kerjasama ini telah dimuktamadkan. Tanpa hubungan yang erat antara Baginda dan Presiden UAE, projek ini tidak akan menjadi kenyataan," katanya.

 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, semasa lawatan rasminya ke Abu Dhabi September lalu, ADNOC telah memberikan taklimat mengenai kerjasamanya dengan Petronas untuk meneroka sektor minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui.

 

Beliau berkata, perkara ini juga telah dibincangkan dengan lebih mendalam ketika pertemuan empat mata di antara beliau dan Sheikh Mohamed, selain Baginda bersetuju supaya projek ini dipercepatkan.

 

"Sewaktu pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia, Malaysia dan UAE bersetuju untuk meningkatkan hubungan sedia ada kedua-dua negara kepada ‘Perkongsian Strategik’," katanya.

 

Katanya, beliau memberikan perhatian yang serius untuk memperkukuhkan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pelaburan dan perdagangan, tenaga boleh diperbaharui, sekuriti makanan serta minyak dan gas.

 

Tambahnya, perdagangan antara Malaysia dan UAE telah meningkat sebanyak 90.4% untuk lapan bulan pertama 2022 iaitu AS$6.14 bilion (RM25.60 bilion).

 

"Semoga hubungan erat di antara Malaysia dan UAE terus diperkukuhkan pada masa depan," katanya. - DagangNews.com