Isu akaun palsu: MCMC kecewa sikap penyedia platform global tidak bertindak pantas | DagangNews Skip to main content

Isu akaun palsu: MCMC kecewa sikap penyedia platform global tidak bertindak pantas

 

KUALA LUMPUR 24 Mei - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kecewa dengan sikap pihak penyedia platform seperti Facebook, Twitter, Instagram, WhatsApp dan Telegram yang tidak bertindak pantas terhadap laporan yang dikemukakannya dalam menangani isu akaun-akaun palsu terutamanya yang digunakan bagi tujuan penipuan.

 

Kelewatan tindakan berhubung perkara ini dibimbangi akan merencatkan usaha MCMC dalam melindungi pengguna media sosial daripada akaun-akaun palsu, terutama yang menyamar dan menyalahgunakan identiti individu dan entiti lain, yang seterusnya boleh menyebabkan kerugian wang ringgit kepada pengguna.

 

"Memandangkan platform-platform sedemikian yang tidak dilesenkan kerana beroperasi di luar Malaysia, MCMC amat bergantung kepada tindakan yang dibuat oleh pihak penyedia platform.

 

"Justeru, MCMC menggesa pihak penyedia platform untuk lebih bertanggungjawab, responsif dan bertindak pantas terhadap setiap laporan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya," kata MCMC dalam kenyataan di sini.

 

Dalam masa yang sama kata MCMC, pihak penyedia platform secara langsung mempunyai tanggungjawab bagi memastikan platform yang dihoskan pihak mereka adalah selamat kepada pengguna.

 

Menurut suruhanjaya itu, tindakan pantas yang diambil adalah penting dan perlu demi melindungi kepentingan serta keselamatan pengguna.

 

"Pihak MCMC sekali lagi ingin menasihatkan pengguna supaya berwaspada, kekal selamat dan menjadi seorang pengguna bertanggungjawab yang mengamalkan penggunaan Internet berhemah.

 

"Elakkan daripada menjadi mangsa kepada akaun-akaun palsu dan menyalahgunakan rangkaian media sosial," kata MCMC. - DagangNews.com