Isu akses jadi penghalang perusahaan mikro gunakan skim latihan, automasi Belanjawan 2024 | DagangNews Skip to main content

Isu akses jadi penghalang perusahaan mikro gunakan skim latihan, automasi Belanjawan 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Dis - Perusahaan mikro tidak merancang untuk menggunakan skim latihan dan automasi yang diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2024 kerana cabaran dalam mendapatkan akses sokongan.

 

Indeks Keyakinan Perniagaan (BCI) RAM-CTOS menunjukkan hampir 70% firma mikro tidak bercadang untuk menggunakan automasi dan skim latihan yang diumumkan dan sebab utama yang disebut adalah tidak mengetahui kaedah untuk memohon skim itu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan RAM Holdings Berhad, Chris W.K. Lee berkata, bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kira-kira 80% berhasrat menggunakan skim automasi dan/atau latihan dan kira-kira satu perempat menyatakan menghadapi halangan yang sama untuk mendapatkan akses.

 

"Skim kerajaan diperlukan untuk menyokong PKS mikro untuk meningkatkan dan berinovasi, tetapi ia harus didahului dengan program komunikasi dan jangkauan yang berkesan untuk mencapai kumpulan sasaran yang betul.

 

"Proses onboarding dan pentadbiran juga tidak seharusnya terlalu rumit atau menyusahkan pemohon," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sejumlah 141 firma terlibat dalam tinjauan itu. 

 

Indeks keseluruhan jatuh kepada 48.9 daripada 50.4, menandakan pesimisme tentang prospek perniagaan dalam tempoh tiga bulan akan datang.

 

Ia menyerlahkan sentimen menurun yang amat ketara bagi PKS kerana jangkaan untuk pertumbuhan jualan, keuntungan dan penggunaan kapasiti adalah lemah. 

 

Keadaan perniagaan sebahagian besarnya bertambah buruk dalam kalangan firma yang dikaji menjelang akhir tahun.

 

Hampir 40% dan 50% responden melaporkan jualan dan keuntungan yang lebih rendah pada suku keempat tahun ini berbanding suku pertama.

 

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan CTOS Digital Berhad, Erick Hamburger berkata, hasil tinjauan itu menekankan keperluan pendekatan yang disesuaikan dalam menangani pelbagai keperluan perniagaan.

 

"Walaupun bantuan kewangan kekal penting untuk PKS dan syarikat besar mendapatkan sokongan dalam meningkatkan operasi mereka, termasuk automasi dan peningkatan kemahiran untuk menghadpi landskap perniagaan yang semakin berkembang.

 

“Kerajaan menawarkan dana yang besar untuk membantu PKS dalam pendigitalan, menyediakan peluang unik untuk perniagaan.

 

"Adalah penting bagi perniagaan menyesuaikan diri dan memanfaatkan pembiayaan ini," katanya. - DagangNews.com