Isu kurang pekerja, kenaikan kos bahan binaan beri kesan kepada untung Sunway Construction - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Isu kurang pekerja, kenaikan kos bahan binaan beri kesan kepada untung Sunway Construction - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mei - Kenanga Research menjangkakan isu kekurangan tenaga pekerja selain kenaikan harga besi dan simen akan memberi kesan kepada margin keuntungan Sunway Construction Group.

 

Firma itu berkata, buat masa sekarang, kumpulan itu memiliki seramai 260 pekerja, lebih rendah berbanding 800 pekerja sebelum ini dan 500 pekerja semasa bermulanya pandemik COVID-19. 

 

Walaupun keadaan itu tidak akan menjejaskan kemajuan pelaksanaan projek kumpulan namun ia meningkatkan kos subkontraktor yang menyebabkan kepada pengurangan margin keuntungan.

 

"Sunway Construction bercadang untuk mendapatkan 700 lagi pekerja langsung tetapi mengakui berdepan kesukaran untuk memenuhi kuota itu.

 

"Harga besi semasa iaitu RM3,400 satu tan dan simen RM350 satu tan juga akan mengurangkan margin keuntungan daripada projek yang sedang berjalan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga menghentikan dua projek pemasangan panel solar yang bernilai RM300 juta akibat kenaikan kos dan pemegang konsesi yang menganugerahkan projek berkenaan kepada Sunway Construction sedang berunding bagi melanjutkan tempoh konsesi bagi mendepani kenaikan kos itu.

 

Lanjutan tempoh konsesi itu adalah bagi menunggu akan harga panel solar itu turun dan membolehkan kadar pulangan dalaman (IRR) dikekalkan.

 

Pada masa sama, kumpulan itu juga berpotensi besar untuk meraih sebahagian daripada projek MRT3 melibatkan kerja-kerja kejuruteraan awam .

 

"Kami menjangkakan pakej kerja-kerja kejuruteraan awam bernilai RMRM14.5 bilion berdasarkan kos kontrak daripada MRT2.

 

"Bagaimanapun, dalam usaha untuk mendapatkan projek itu, konsortium yang terlibat dengan proses tender perlu memiliki 60% pegangan bumiputera dan dipercayai, kumpulan itu akan menjalinkan kerjasama dengan syarikat lain untuk terlibat dengan projek itu," katanya.

 

Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan selain mengekalkan saranan 'market perform' dengan sasaran harga (TP) RM1.52. - DagangNews.com