Isu pekerjaan tumpuan utama Bajet 2021, ramal pakar ekonomi | DagangNews Skip to main content

Isu pekerjaan tumpuan utama Bajet 2021, ramal pakar ekonomi


KUALA LUMPUR 19 Okt. - Kerajaan dijangka meneruskan inisiatif bantuan pandemik dan rangsangan sekali gus mengunjurkan pengembangan bajet untuk bertahan dalam proses pemulihan walaupun negara kini sedang berhadapan dengan gelombang ketiga COVID-19. 

Malaysia ketika ini mencatatkan kes COVID-19 kembali tiga digit ditambah penguncupan ekonomi pada suku kedua lalu menjadikan Bajet 2021 sesuatu yang sukar dan penting. 

Profesor Ekonomi di Sunway University Business School, Dr. Yeah Kim Leng melihat Bajet 2021 perlu merangkumi sokongan pendapatan lebih besar selain perlindungan pekerjaan yang kukuh, mewujudkan pekerjaan baharu dan program kemahiran semula untuk menambah baik kehidupan rakyat miskin di bandar dan luar bandar.

Kesan pandemik ke atas ekonomi dan kesihatan yang tidak seimbang dalam isi rumah berpendapatan rendah perlu ditangani dengan langkah fiskal yang lebih berani,” katanya kepada Bernama. 

Pengembangan bajet merujuk kepada peruntukan wang berjumlah besar oleh kerajaan untuk disalurkan kepada ekonomi sama ada meningkatkan perbelanjaan atau memotong cukai, bertujuan menawarkan lebih banyak wang perbelanjaan dalam kalangan rakyat dan perniagaan. 

Menerusinya, rakyat terutamanya golongan B40 dan M40 dapat meningkatkan kuasa membeli dan dalam masa sama mengurangkan pengangguran seterusnya memacu perbelanjaan pelanggan dan melonjakkan ekonomi. 

Hasil aktiviti ekonomi bagi suku ketiga dijangka melonjak, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ini terutamanya didorong oleh sektor pengilangan, automotif, teknologi maklumat, kewangan dan penjagaan kesihatan, manakala sektor berkaitan pelancongan dijangka pulih lebih perlahan.

Prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka lebih baik pada tahun hadapan, sebanyak 5.5% hingga 8% daripada ramalan bagi 2020 antara -3.5% dan -5.5%.

Pada Julai 2020, kadar pengangguran Malaysia pula menurun kepada 4.7%.

Walaupun angka itu menunjukkan peningkatan, tetapi tidak boleh boleh diambil mudah. - DagangNews.com