Isu rantaian bekalan vaksin COVID-19 Pfizer tidak jejas Malaysia - MOSTI | DagangNews Skip to main content

Isu rantaian bekalan vaksin COVID-19 Pfizer tidak jejas Malaysia - MOSTI

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengumumkan bahawa isu rantaian bekalan vaksin COVID-19 yang dihadapi syarikat farmaseutikal, Pfizer Inc. tidak akan menjejaskan bekalannya kepada Malaysia pada tahun hadapan.

 

Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin yang sedia maklum akan masalah tersebut memberitahu isu rantaian bekalan itu hanya memberi kesan pada tahun ini.

 

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan sekiranya terdapat gangguan, Malaysia telah mengambil pendekatan untuk memperoleh portfolio vaksin daripada pelbagai syarikat farmaseutikal dan pembangun lain bagi memastikan bekalan mencukupi.

 

“Kalau kita hanya mendapatkan vaksin daripada sebuah syarikat sahaja, ini mungkin akan membuka risiko tidak menerima vaksin yang cukup,” katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

 

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

 

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) berhubung pertanyaan sama ada Malaysia terjejas daripada isu rantaian bekalan dihadapi Pfizer dan adakah terdapat kos sampingan lain seperti logistik. 

 

Malaysia meletakkan sasaran 70% daripada populasi negara untuk pembentukan imuniti kelompok pelan vaksinasi kebangsaan bagi jangkitan COVID-19. 

 

Sehingga kini, Malaysia telah menandatangani dua perjanjian yang memberi jaminan bekalan vaksin sebanyak 30% daripada jumlah populasi negara. 

 

Pertama adalah menerusi COVAX (10% daripada populasi Malaysia) yang ditandatangani pada 23 November lalu dan kedua, perjanjian pengambilan awal vaksin COVID-19 Pfizer (20%) yang dimerterai pada 24 November lalu.

 

Baca : Malaysia dapat vaksin COVID-19 95% berkesan Pfizer Inc. bermula 3 bulan pertama 2021 - PM

 

Kata Khairy, bagi mencapai sasaran berkenaan, kerajaan masih dalam proses perbincangan dan rundingan bersama-sama syarikat farmaseutikal dan pembangun vaksin. 

 

Bagi tujuan vaksinasi kepada rakyat pula, kerajaan menyasarkan tempoh suku pertama 2021 (1Q21) bagi memperoleh wajaran pertama bekalan vaksin COVID-19, jelas Khairy.

 

Mengulas mengenai persoalan kos sampingan seperti logistik, Khairy berkata, dalam konteks vaksin Pfizer, satu dos vaksin itu meliputi kos pengangkutan yang akan ditanggung oleh syarikat farmaseutikal itu sendiri bergantung dengan perjanjian syarikat-syarikat yang berbeza. 

 

“Kos akhir sedang diteliti, bukan hanya kos pengangkutan tetapi kos simpanan yang kita akan perhalusi dan maklumkan apabila dapat kepastian,” tambah Khairy. - DagangNews.com