Isu tenaga buruh, boleh jejaskan FGV - Firma | DagangNews Skip to main content

Isu tenaga buruh, boleh jejaskan FGV - Firma

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 31 Mei - Unjuran pendapatan FGV Holdings Bhd. disemak semula bagi tahun kewangan 2021 dan 2021 dengan mengambil kira pelaksanaan perintah kawalan pergerakan yang memasuki pusingan keempat (PKP 4.0).

 

MIDF Research berkata, ini mengambil kira pengeluaran tandan buah segar yang juga disebabkan kekurangan penggunaan tenaga buruh. 

 

Firma itu mengunjurkan pendapatan menyusut 18.8% bagi tahun ini kepada RM283.4 juta berbanding sebelum ini RM349.1 juta manakala pada 2022 pula, susut 18% kepada RM296.4 juta berbanding unjuran awal, RM361.3 juta.  

 

"Tetapi, kami berpendapat, harga minyak sawit mentah yang tinggi dan pengeluaran tandan buah segar yang sederhana akan menjana prestasi kewangan FGV yang kukuh pada masa akan datang. 

 

"Selain itu, harga purata jualan (ASP) yang tinggi bagi gula bertapis dan peningkatan jualan dapat membantu, anak syarikat FGV, MSM Malaysia Holding merekodkan margin keuntungan yang tinggi pada suku akan datang," katanya dalam nota kajian hari ini.  

 

Bagaimanapun, firma itu tidak menolak, ketidaktentuan masih menyelubungi operasi perniagaan kumpulan terutama dengan penamatan perjanjian pajakan tanah (LLA) dan pengambilalihan kilang FGV oleh Felda. 

 

Pada masa sama, di sebalik sekatan import yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas FGV atas dakwaan penggunaan tenaga buruh, prospek kumpulan masih kekal kukuh. 

 

"Ini memandangkan FGV akan mengkaji semula perlantikan firma audit bebas bagi menjalankan audit ke atas operasi syarikat dalam tempoh yang munasabah dan akan terus berhubung dengan Agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) sebaik sahaja audit bebas dilantik," tambahnya.  

 

MIDF Research mengekalkan pandangan neutral terhadap saham FGV dengan harga sasaran disemak semula kepada RM1.31 berbanding RM1.34 sebelum itu.

 

Baca : Pendapatan FGV melonjak RM3.93 bilion

 

FGV mencatat kerugian bersih yang lebih kecil pada suku pertama berakhir 31 Mac 2021 kepada RM35.42 juta berbanding RM142.35 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatan bagi tempoh itu melonjak kepada RM3.93 bilion berbanding RM2.78 bilion bagi tempoh sama 2020 disokong oleh harga purata minyak sawit mentah yang lebih tinggi, volum kukuh serta harga yang lebih bagi produk pengguna dan baja.

 

Sementara itu, ketika taklimat kepada penganalisis, CGS-CIMB memberitahu, FGV mengurangkan pertumbuhan pengeluaran tandan buah segar antara 2 hingga 4% disebabkan masalah tenaga buruh dan kesan daripada PKP 3.0.

 

Katanya, FGV mengekalkan sasaran kos pengeluaran minyak sawit mentah sekitar RM1,500 hingga RM1,600 bagi tahun kewangan 2021.

 

Penggunaan tenaga buruh kumpulan pula ketika ini berada pada tahap 75% daripada jumlah keperluan, merosot daripada 83% setakat akhir suku keempat 2020 dan 90% pada suku ketiga 2020.

 

"Keadaan ini secara tidak langsung akan menjejaskan produktiviti kumpulan," katanya. 

 

CGS-CIMB bagaimanapun mengekalkan unjuran pendapatan FGV. Ia juga mengekalkan saranan 'pegang' bagi saham FGV dan harga sasaran pada RM1.30, berdasarkan tawaran harga ambil alih mandatori oleh Felda. 

 

"Kemungkinan nyahsenarai masih kekal tinggi memandangkan Felda sebelum ini menyatakan hasratnya tidak mahu mengekalkan status penyenaraian FGV," katanya. - DagangNews.com