ITMAX peroleh kontrak CCTV RM539 juta daripada DBKL | DagangNews Skip to main content

ITMAX peroleh kontrak CCTV RM539 juta daripada DBKL

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Ogos - ITMAX System Bhd, syarikat yang terlibat dalam perniagaan pembekalan, pemasangan dan penyediaan rangkaian ruang awam memperoleh kontrak bernilai RM539 juta daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

 

Kumpulan itu berkata, menerusi kontrak itu, mereka akan menggunakan 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) bagi melengkapkan infrastruktur pengawasan video sedia ada di Kuala Lumpur, yang dilengkapi dengan keupayaan kecerdasan buatan (AI) yang canggih untuk analisis masa nyata.

 

Ia juga akan membantu meningkatkan pemantauan keselamatan yang dan pengurusan bandar.

 

 

"Kontrak itu adalah selama 10 tahun terdiri daripada fasa pemasangan satu tahun dan fasa langganan selama 9 tahun," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITMAX, William Tan Wei Lun berkata, sebagai penyedia perkhidmatan infrastruktur digital bersepadu yang dikuasakan AI, ia merupakan satu peristiwa penting.
 

"Kami kini menggunakan sistem pengawasan video dipertingkatkan AI secara meluas di seluruh Kuala Lumpur. 

 

"Keupayaan AI termaju ITMAX akan menyampaikan cerapan dan analisis masa nyata untuk menyokong DBKL  dalam mengoptimumkan pengurusan bandar.

 

"Menerusi pengembangan itu, sistem pengawasan video kami merangkumi 10,000 unit pengawasan pintar, disambungkan melalui infrastruktur rangkaian gentian optik di seluruh Kuala Lumpur," katanya.

 

Beliau berkata, penambahbaikan itu akan menangani peningkatan cabaran kerumitan dan keselamatan bandar.

 

"Kami menjangka permintaan berterusan bagi rumusan pengawasan didorong AI komprehensif, yang dipercayai akan meningkatkan keselamatan awam dengan ketara dan meningkatkan kualiti hidup keseluruhan di bandar," katanya. - DagangNews.com