Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dutch Lady meterai MoC rangsang industri tenusu | DagangNews Skip to main content

Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dutch Lady meterai MoC rangsang industri tenusu

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 April - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memeterai memorandum kerjasama (MoC) dengan Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady) berasaskan konsep ‘public private partnership’.

 

Kerjasama tersebut bertujuan untuk menjayakan aktiviti penternakan lembu tenusu yang lestari dan ke arah peningkatan kualiti dan kuantiti susu segar dengan gabungan penglibatan penternak tenusu di bawah Program Pembangunan Tenusu Negara.

 

.

 

DVS berkata, dengan kerjasama juga, ia diharap dapat dijadikan model untuk dicontohi oleh pemain industri lain.

 

"Industri tenusu menyumbang RM68 juta daripada RM15 bilion Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkaitan industri terkenakan dalam agromakanan.

 

"Peningkatan pengeluaran susu segar daripada 27 juta liter (2010) kepada 42 juta liter (2020), di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 dan Rancangan Malaysia Ke-11, menjadi landasan kukuh untuk kerajaan terus meningkatkan pengeluaran susu segar dalam Rancangan Malaysia Ke-12. Pada masa ini, tahap sara diri (SSL) susu negara adalah pada tahap 62%," jelas DVS dalam satu kenyataan hari ini.

 

Penyerahan Moc tersebut turut disaksikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee hari ini.

 

Ronald Kiandee
Ronald Kiandee.

 

Mengulas berkaitan kerjasama tersebut, beliau memberitahu, kerjasama tersebut adalah tepat pada masanya dan diharapkan agar dapat memacu pelaksanaan program-program yang telah dirancang oleh pihak kerajaan dan pihak swasta demi kelestarian industri tenusu negara. 

 

"Perkembangan positif industri tenusu ini bukan sahaja dirasai MAFI, malahan industri ini juga turut mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bermula Jun 2019. 

 

"Melalui program ini, produk susu yang diperbuat daripada 100 peratus susu tempatan dibekalkan kepada pelajar-pelajar sekolah rendah yang terpilih.

 

"Situasi ini secara tidak langsung akan merangsang lagi pembangunan industri tenusu negara ke suatu fasa kejayaan yang lebih meyakinkan," jelasnya.

 

.

 

Permintaan terhadap susu segar yang semakin meningkat saban tahun mendorong kerajaan untuk menggubal dasar dan strategi ke arah meningkatkan pengeluaran susu segar bagi mengurangkan kebergantungan import.

 

Jelas DVS, melalui Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara yang dirangka dalam Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan mensasarkan pengeluaran susu segar tempatan dapat ditingkatkan dengan pertambahan 20 juta liter dalam tempoh lima tahun.

 

"Dasar dan strategi yang dirangka tertumpu bukan hanya untuk meningkatkan pengeluaran, malahan mengambil kira peningkatan kualiti susu segar yang dihasilkan di peringkat ladang dan pengendalian di sepanjang rantaian nilai.

 

"MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) juga telah mengenalpasti beberapa hala tuju baharu dalam sektor ternakan yang merangkumi penubuhan Lembaga Ruminan Negara untuk meningkatkan pengeluaran daging dan susu," tambah DVS lagi. - DagangNews.com