Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Dis - Jade Marvel Group Bhd (JMGB Group) telah menandatangani perjanjian dengan YHL Foods Sdn Bhd (YHLF) untuk membentuk syarikat usaha sama dikenali sebagai YHL Jadem Frozen Sdn Bhd (YHLF) untuk perniagaan makanan laut sejuk beku baharu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata syarikat usaha sama itu akan menjalankan perniagaan menyediakan perkhidmatan berkaitan pemprosesan makanan laut sejuk beku dan kemudahan penyimpanan sejuk serta eksport, import, jualan, pemasaran dan pemborongan semua jenis makanan laut sejuk beku.
“Usaha sama itu mewakili peluang strategik untuk JMGB Group mengembangkan perniagaannya ke dalam perniagaan makanan laut beku, sekali gus menyediakan aliran hasil tambahan.
"Pihak lembaga percaya bahawa usaha sama itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan yang diperbesarkan dan kepada kedudukan kewangan masa depan kumpulan," katanya.
JMGB akan memegang 60% saham YHLJF manakala YHLF pula sebanyak 40%, tambahnya.
Sebelum ini syarikat itu pada 16 Oktober lalu memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk menjalin kolaborasi dengan sebuah syarikat swasta tempatan untuk menguruskan perniagaan berkaitan industri kesejahteraan menerusi sistem kawalan teknologi maklumat sehenti.
Syarikat itu berkata, ia memeterai MoU dengan BHealthy Wellness Sdn Bhd, yang mana pemilik dan pengarahnya iaitu Chua Kian Leong dan Goh Chee Siang memiliki pengalaman luas di dalam industri tersebut, termasuk perkhidmatan spa, refleksologi dan kepakaran kecantikan.
Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak bersetuju dengan aturan usaha sama 51:59, dengan Jade Marvel memegang 51% kepentingan.
Jade Marvel telah ditubuhkan pada 1980 sebagai sebuah syarikat sendirian berhad untuk mengeluarkan dan membekalkan campuran asfalt untuk kerja-kerja penurapan jalan di sektor kerajaan dan swasta.
Sejak penyenaraiannya pada tahun 2004, Jade Marvel telah mengembangkan aktiviti perniagaannya daripada pembuatan bahan binaan iaitu konkrit Asfaltik dan agregat kepada pembangunan hartanah dan projek lain. -DagangNews.com