Jadikan Malaysia hab syarikat permulaan - KJ | DagangNews Skip to main content

Jadikan Malaysia hab syarikat permulaan - KJ

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Berdasarkan pelbagai kelebihan yang dimiliki negara ini, Malaysia perlu meletakkan kedudukannya sebagai hab pertumbuhan syarikat permulaan. 

Ini merupakan langkah bagi menarik bakat usahawan terbaik di peringkat global untuk mewujudkan syarikat permulaan mereka di negara ini. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin berkata, ekosistem keusahawanan negara setaraf dengan yang terbaik di dunia, tetapi Malaysia perlu mengangkat nama negara lebih baik untuk dikenali. 

“Kita tidak menjenamakan negara dengan cukup. Kita perlu lakukan lebih lagi supaya negara dikenali (sebagai hab syarikat permulaan). 

"Negara-negara lain juga sedang menarik bakat sama, yang terhad itu. Jika kita tidak menguar-uarkan (kelebihan), kita tidak akan terima perhatian,” katanya dalam perbincangan panel bertajuk ‘Reflect, Reset and Reform – Thriving in the New World' di eNation. 

eNation merupakan persidangan teknologi yang berlangsung selama empat hari dan dianjurkan oleh Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC). 

Tambah Khairy, Malaysia mempunyai kelebihan di mana rakyatnya boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, mempunyai pelbagai budaya, pendidikan tinggi terbaik, tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berada di kedudukan teratas dalam indeks global dari segi persaingan serta kemudahan untuk perniagaan. 

Sehubungan itu, Khairy melihat apa yang ditawarkan oleh Malaysia setaraf dengan negara rantau lain sekali gus menekankan kepentingan untuk mewujudkan ekosistem menyeluruh yang mampan.

Bagi menarik bakat-bakat terbaik, Malaysia perlu menggariskan misi dan hala tuju selain meletakkan negara sebagai ekonomi terbuka ekoran pasaran domestik yang lebih kecil. 

“Syarikat permulaan kita perlu mengisi kekosongan itu dan tidak perlu takut untuk menawarkan perkhidmatan tempatan serta peribadi kepada syarikat teknologi antarabangsa yang besar.

“Dalam masa sama, mereka juga tidak perlu takut untuk mengendalikan isu kawal selia yang besar,” tambahnya. - DagangNews.com