Jaga kesopanan ketika beri ulasan, pandangan di media sosial - MCMC | DagangNews Skip to main content

Jaga kesopanan ketika beri ulasan, pandangan di media sosial - MCMC

KUALA LUMPUR 20 Okt - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan semua pihak, terutama pengguna media sosial, agar sentiasa menjaga kesopanan, bertolak ansur ketika memberikan pandangan atau ulasan bersempena pengumuman tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

 

Pihak MCMC akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur 3R, iaitu Raja (Royalty), Agama (Religion) dan Kaum (Race). 

 

"Sebarang perkongsian kandungan yang bersifat palsu, jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. 

 

"Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Ghani hari ini mengumumkan 19 November sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, penamaan calon pada 5 November manakala pengundian awal pada 15 November 2022.

 

Sementara itu, MCMC berkata, tindakan penguatkuasaan akan dijalankan berdasarkan aduan daripada orang awam mengikut peruntukan undang-undang sedia ada secara telus demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat. 

 

Laporkan insiden atau kandungan berunsur 3R di media sosial terus kepada MCMC melalui portal Aduan MCMC di pautan https://aduan.skmm.gov.my/. 

 

Selain itu, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/. - DagangNews.com