Jaguar Land Rover Malaysia gabungkan operasi perusahaan dan runcit | DagangNews Skip to main content

Jaguar Land Rover Malaysia gabungkan operasi perusahaan dan runcit

 

PETALING JAYA 26 Okt – Jaguar Land Rover (Malaysia) Sdn Bhd (JLRM) merancang untuk menyatukan dan memperkukuhkan pengendalian perniagaan runcit mereka di dalam negara sebagai sebahagian daripada perancangan memajukan keupayaan servis dan perkembangan jenama tersebut untuk jangka panjang.

 

Perancangan ini bakal menyaksikan perolehan aset dari Sime Darby Auto Connexion dan SISMA Auto berikutan gabungan pusat operasi perniagaan berpusat pengedar Jaguar dan Land Rover di Ara Damansara, Selangor.

 

Premis di Ara Damansara merupakan fasiliti 4S Jaguar Land Rover terbesar di Asia Tenggara. JLRM juga bakal beroperasi untuk jualan runcitnya di Jalan Sultan Ahmad Shah, Pulau Pinang.

 

Pengarah Urusan JLRM, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz berkata, pelaksanaan penggabungan akan meletakkan syarikat dalam kedudukan yang lebih kukuh dalam menyediakan khidmat kepada pelanggan di samping mengoptimumkan kos runcit dan perdagangan termasuk perbelanjaan.

 

Menurutnya, gabungan ini bakal menjadi langkah yang positif ke arah pengendalian kecekapan yang lebih baik dan peningkatan perkhidmatan premium yang akan menjamin peningkatan jangka masa panjang syarikat.

 

‘’Langkah penggabungan ini akan memanfaatkan pengalaman luas dan kepakaran yang kami kumpulkan selama beberapa dekad ini. Ia juga bagi  mengukuhkan pelaksanaan proses dan memberikan nilai yang lebih tinggi kepada pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

JLRM berharap agar gabungan ini mampu untuk memaksimumkan pengalaman pelanggan, yang membezakan mereka dengan syarikat pesaing.

 

Syed Ahmad Muzri Syed Faiz
Syed Ahmad Muzri Syed Faiz

 

 

Digabungkan dengan inisiatif digital, perancangan baharu syarikat untuk melabur terhadap teknologi bakal meningkatkan penggunaan penyelesaian digital dalam beberapa tahun lagi bagi menyempurnakan kapasiti servis bertujuan mewujudkan perkhidmatan berkualiti tinggi untuk para pelanggan.

 

Gabungan di antara Sime Darby Motors dan SISMA Auto turut meletakkan pengalaman lebih 60 tahun dalam perniagaan Jaguar dan Land Rover.

 

Lebih banyak perkhidmatan dan kemudahan yang mewah di bilik pameran JLRM akan dinikmati  para pelanggan. Fasiliti seluas 167,586 kaki persegi di Ara Damansara boleh menempatkan kenderaan baharu dan juga kenderaan terpakai Jaguar Land Rover di bawah satu bumbung, memberikan para pelanggan pilihan yang lebih banyak dan lebih nilai.

 

JLRM bakal meneruskan pelaburan dalam latihan untuk meningkatkan Juruteknik Master Level 4 dan Juruteknik Teknologi Kenderaan Elektrik bertauliah untuk bagi memastikan para pelanggan mendapat perkhidmatan yang terbaik untuk kenderaan mereka.

 

Penasihat Jualan dan Perkhidmatan juga akan dilatih secara khusus selaras dengan standard Jaguar Land Rover agar pelanggan kekal yakin dengan pemilikan kenderaan mereka.

 

 

jaguar

 

 

Program jangkauan perkhidmatan juga akan diperluaskan ke wilayah selatan di Johor Bahru,  di samping mengekalkan liputan di bahagian utara melalui premis di Pulau Pinang.

 

Para pelanggan juga boleh menjangkakan pelancaran model baharu dalam masa terdekat seperti SUV berprestasi mewah berwajah baharu; Jaguar F-PACE dengan reka bentuk bahagian dalam dan luar serba baharu, sedan eksekutif Jaguar XF berwajah baharu; SUV berprestasi elektrik pertama Jaguar; Jaguar I-PACE, Land Rover Defender 90 dan Range Rover serba baharu.

 

JLRM adalah sebuah syarikat bersekutu antara Sime Darby Motors dan SISMA Auto, yang merupakan satu-satunya pengimport dan pedagang berdaftar bagi kenderaan Jaguar dan Land Rover di Malaysia.– DagangNews.com