JAKS Resources lupus 178.48 hektar tanah kelapa sawit di Pulau Pinang berharga RM78 juta | DagangNews Skip to main content

JAKS Resources lupus 178.48 hektar tanah kelapa sawit di Pulau Pinang berharga RM78 juta

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Sept - JAKS Resources Bhd melupuskan 178.48 hektar tanah kelapa sawit di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang dengan harga RM77.74 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan pembinaan itu berkata, ia menjual empat bidang tanah kepada Summersonic Sdn Bhd pada harga RM35.9 juta dan baki 13 plot kepada Pacific Arena Sdn Bhd pada harga RM41.8 juta.

 

JAKS Resources berkata, tanah yang terletak di Seberang Perai Selatan itu mempunyai nilai buku bersih RM15.97 juta setakat akhir Disember 2023. 

 

Kumpulan itu menjangkakan keuntungan pro forma bersih sebanyak RM50.38 juta daripada pelupusan itu.

 

Katanya, hasil daripada jualan itu akan digunakan untuk membayar balik pinjaman dan modal kerja.

 

JAKS Resources berkata, penjualan dan pemindahan tanah itu akan memerlukan persetujuan daripada pihak berkuasa berkaitan dan menjangkakan pelupusan itu akan selesai pada suku ketiga 2025 (3Q2025).

 

Sehingga akhir Jun, JAKS Resources mempunyai pinjaman jangka pendek dan jangka panjang masing-masing sebanyak RM59.89 juta dan RM407.62 juta, berbanding pegangan tunainya iaitu RM31.96 juta.

 

Syarikat itu melaporkan keuntungan bersih RM8.42 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2Q2024), susut 56% daripada RM19.11 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas akibat bahagian keuntungan yang lebih rendah daripada rakan usaha samanya di Vietnam.

 

Bagaimanapun, hasilnya melonjak 295% tahun ke tahun kepada RM13.1 juta daripada RM3.31 juta didorong oleh sumbangan daripada bahagian tenaga. - DagangNews.com