Petronas mendapat pujian Mahkamah Perusahaan kerana memecat pegawai kanan didapati bersalah lakukan gangguan seksual | DagangNews Skip to main content

Petronas mendapat pujian Mahkamah Perusahaan kerana memecat pegawai kanan didapati bersalah lakukan gangguan seksual

KUALA LUMPUR 17 Sept - Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur memuji Petronas kerana menangani gangguan seksual secara tegas selepas memecat seorang pegawai kanan yang didapati bersalah mengganggu empat pekerja wanita.

 

Pengerusi Mahkamah Perusahaan, Eswary Maree berkata persekitaran kerja yang selamat dan terjamin adalah sama asasnya dengan hak untuk hidup, lapor FMT.

 

Dalam keputusan setebal 64 muka surat, beliau berkata pemecatan boleh dibenarkan dalam kes salah laku yang serius.

 

Pegawai kanan itu, yang dipinjamkan ke Dubai dari 2015 hingga 2018, menghadapi aduan daripada empat pekerja wanita — tiga warga asing dan seorang warga tempatan — berhubung komen yang tidak wajar dan perlakuan fizikal yang tidak diingini.

 

Eswary memuji Petronas kerana segera menangani isu itu dan melindungi pekerjanya.

 

Beliau berkata adalah menjadi kewajipan syarikat untuk mencegah kelakuan sedemikian, terutamanya daripada pegawai kanan yang mempunyai kelayakan undang-undang.

 

Walaupun pembelaan tertuduh mendakwa tindakannya disalah erti dan menafikan hubungan fizikal, Eswary memutuskan bahawa dia melanggar tatakelakuan dan piawaian tempat kerja Petronas.

 

Beliau berkata siasatan domestik mengikut prinsip keadilan semula jadi dan menganggap pemecatan itu wajar.

 

Secara ringkasnya, Eswary berkata, keputusan syarikat untuk memberhentikan pekerja itu adalah wajar mengikut keadaan. - DagangNews.com