Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Sept. - Tan Sri Jamaludin Ibrahim (gambar atas) mengumumkan hasratnya untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Celcom Axiata Berhad (Celcom Axiata) pada 15 Oktober depan.
Jawatan itu akan diambil alih oleh Datuk Izzadin Idris bermula 16 Oktober 2020 yang kini berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutf/ Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata dan Pengarah Lembaga Celcom Axiata.
Axiata berkata, ia merupakan penentu langkah seterusnya dan sebahagian daripada rancangan yang lebih besar dalam penggantian kepimpinan di syarikat kumpulan itu.
Bagaimanapun, Jamaludin akan meneruskan tanggungjawabnya sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata sehingga penghujung Disember 2020.
Mengulas mengenai peletakan jawatan itu, Pengerusi Axiata, Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid berkata, lembaga pengarah menghormati pandangan, kepimpinan perundingan dan membuat keputusan yang berkesan oleh Jamaludin.
“Kami berpuas hati apabila pelan peralihan itu berjalan lancar dan percaya beliau telah membawa syarikat ke arah betul, disokong oleh asas kukuh yang beliau wujudkan.
“Dengan Izzaddin mengambil alih jawatan itu, kami yakin syarikat akan mengukuh di bawah pengendalian beliau terutamanya dalam membentuk Celcom Axiata untuk kekal bertahan dan bersaing dalam era digital,” katanya dalam satu kenyataan.
Jamaludin memegang jawatan itu sejak Celcom dan Telekom Malaysia International (TMI) tidak lagi bergabung dengan Telekom Malaysia (TM) pada tahun 2008.
“Setelah menerajui lembaga pengarah Celcom Axiata selama lebih 12 tahun, tiba masanya saya menyerahkan tugas itu kepada Izzaddin. Ini merupakan sebahagian daripada pelan peralihan keseluruhan yang diumumkan awal tahun ini, di mana Izzaddin akan mengambil alih semua tanggungjawab saya satu persatu untuk memastikan penggantian tugas lancar.
“Hari ini, beliau telah melihat beberapa fungsi utama syarikat dan memulakan pentadbiran di beberapa anak syarikat utama, termasuk Celcom Axiata,” kata Jamaludin. - DagangNews.com