Jambatan Sungai Pulai meletakkan Pontian sebagai hab sosioekonomi baharu di Johor - Onn Hafiz | DagangNews Skip to main content

Jambatan Sungai Pulai meletakkan Pontian sebagai hab sosioekonomi baharu di Johor - Onn Hafiz

Jambatan Sungai Pulai kini dibuka untuk kegunaan orang awam.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

JOHOR BAHRU 19 Jan - Pembukaan Jambatan Sungai Pulai akan meletakkan Pontian sebagai hab 
sosioekonomi baharu di Johor sekali gus muncul destinasi utama bagi pelaburan asing.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang berpuas hati dengan penyempurnaan projek tersebut berkata, ia akan membawa pelbagai peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi.

 

Katanya, ia juga akan meningkatkan nilai hartanah, menggalakkan pembangunan kawasan-kawasan setempat dan menggalakkan industri pelancongan terutamanya ecotourism di Tanjung Piai dan Kukup, khususnya dari Singapura.

 

Datuk Onn Hafiz Ghazi merasmikan Jambatan Sungai Pulai
Datuk Onn Hafiz Ghazi berucap di majlis perasmian pembukaan Jambatan Sungai Pulai.​​

 

"Sasaran pertumbuhan ini perlu diampuh dengan perancangan strategik yang radikal dan kerjasama erat antara agensi kerajaan serta pihak swasta dalam pelaksanaan sesuatu projek.

 

"Jambatan ini membuktikan kepentingan dan keberkesanan kerjasama awam-swasta dalam pembangunan infrastruktur," katanya ketika berucap merasmikan pembukaan Jambatan Sungai Pulai hari ini. 

 

Sementara itu, Pengerusi Seaport Worldwide Sdn. Bhd. merangkap Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh menzahirkan penghargaannya kepada pelbagai pihak dari kedua-dua sektor awam dan swasta yang terlibat.

 

“Pembinaan jambatan ini dapat disempurnakan dengan jayanya untuk dimanfaatkan oleh penduduk tempatan terutamanya di daerah Pontian dan Gelang Patah,” katanya.

 

Jambatan ini menghubungkan Gelang Patah ke Tanjung Bin merentasi Sungai Pulai dan dibina sepanjang 7.5 kilometer.

 

Kos pembinaan jambatan ini telah menelan belanja kira-kira sebanyak RM800 juta.

 

MMC Engineering Sdn Bhd dengan rakan usaha sama CHEC Construction (M) Sdn Bhd adalah kontraktor utama bagi projek pembinaamn jambatan tersebut.

 

Pembukaan jambatan ini memendekkan masa perjalan asal selama lebih satu jam kepada 30 minit. - DagangNews.com