Jangan bohongi rakyat! Berkata benar walaupun pahit (SURAT PEMBACA) | DagangNews Skip to main content

Jangan bohongi rakyat! Berkata benar walaupun pahit (SURAT PEMBACA)

Saudara Pengarang,

 

Surat ini dituju buat YAB Tan Sri Dato’ Seri Mahiaddin Md. Yassin dan YB Dato’ Azhar Azizan Harun berjiwa besarlah.

 

Benar katakan benar.. berlapang dada itu lebih mulia daripada terus membiarkan rakyat dibungkam duka dan tanda tanya.

 

Buktikan kepada rakyat mengenai status keabsahan jawatan YAB Tan Sri Mahiaddin Md. Yassin sebagai Perdana Menteri ketika ini berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tunjang pemerintahan di Malaysia.

 

Dalam keadaan seluruh rakyat negara ini berduka meratapi jumlah kematian sebanyak 11,691 kes yang dilaporkan sehingga 12 Ogos 2021 dan diramalkan statistik itu akan terus meningkat berikutan penularan pandemik Covid-19, masih mahu bermain politikkah?

 

Kemelut apakah ini? Dengan kes mencecah kepada 1,093,503 orang positif COVID-19 dengan kes harian mencatat 21,668, masih mahu berbicara soal percaturan politik?

 

Jika YAB Tan Sri Mahiaddin Md. Yassin dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, YB Datuk Azizan Azhar Harun telus dan sayangkan rakyat, buktikan bahawa kalian benar.

 

Jelaskan kepada umum bahawa masih ada sokongan daripada ahli Parlimen. Nafikan segera kenyataan kalian hilang sokongan majoriti.

 

Namun, jika benar seperti didakwa sehingga ada laporan polis dibuat yang mempersoalkan keabsahan status Perdana Menteri berasaskan dua faktor iaitu warkah Presiden UMNO yang diutuskan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertarikh 30 Julai 2021, beserta 14 Surat Akuan ahli-ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin Md. Yassin sebagai Perdana Menteri.

 

Berdasarkan situasi ini, kerajaan berasaskan kedudukan tempat duduk di Dewan Rakyat yang mutakhir sebanyak 114, hilang kira-kira 14 ahli Parlimen sokongan dengan hanya berbaki 100 sokongan daripada ahli Parlimen maka jelas Perdana Menteri hilang majoriti.

 

Manakala yang kedua pula memetik laporan portal berita MalaysiaPost sebagai berkata, surat Yang Dipertua Dewan Rakyat, YB Datuk Azhar Azizan Harun menjawab warkah Yang di-Pertuan Agong yang ingin mendapatkan penjelasan kedudukan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Mahiaddin Md. Yassin.

 

Dalam surat yang tular itu, YB Datuk Azhar Harun menjelaskan ‘kedudukan mutakhir bilangan Ahli Dewan Rakyat yang menyokong Perdana Menteri daripada 106 ahli Parlimen seperti mana dimaklumkan pada 3 Ogos lalu kini hanya berbaki 100 ahli Parlimen.

 

YB Datuk Azhar Harun juga dilihat tidak menafikan kandungan surat yang tular itu ketika diminta wartawan portal berita MalaysiaPost untuk memberi penjelasan sebaliknya memaklumkan beliau tidak boleh berkongsi sesuatu komunikasi rasmi terutama membabitkan Istana Negara.

 

Senario itu memberi satu persepsi kepada umum bahawa Perdana Menteri kini sah hilang majoriti!

 

Dalam konteks ini, sekiranya Perdana Menteri hilang kuasa dan tidak mendapat kepercayaan daripada Ahli Dewan Rakyat maka jalan terbaik adalah letak jawatan.

 

Kita boleh imbas kembali kes sama yang pernah berlaku di Perak pada 2009 sehingga Menteri Besar meletak jawatan akibat hilang sokongan majoriti.

 

Apa yang berlaku di Perak umpamanya dalam kes YB Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dengan Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan dalam kes terbaharu apabila undi percaya ditolak oleh majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak, maka YB Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu waktu itu telah hilang majoriti. Maka dia meletakkan jawatan.

 

Ketika itu, UMNO, Parti Amanah Negara (PAN), DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebulat suara menolak Dato’ Seri Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar, tetapi mahu melantik Menteri Besar baharu dengan kuasaa Sultan Perak.

 

Berikutan itu, DYMM Sultan Perak meneliti siapa memperoleh sokongan majoriti untuk menentukan Menteri Besar baharu dan untuk keputusan itu, UMNO terbuka berbincang dengan rakan kongsinya ketika itu merangkumi Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akhirnya sepakat melantik Dato’ Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar baharu.

 

Oleh yang demikian, perkara utama sekarang adalah menentukan keabsahan Perdana Menteri pada ketika ini iaitu YAB Tan Sri Mahiaddin Md. Yassin.

 

Jika Perdana Menteri meletak jawatan, dalam Perkara 40 (2) (b), kuasa perlantikan Perdana Menteri adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

 

Justeru, kepada Ahli Parlimen sekalian janganlah jadi lalang, jadilah karang di dalam laut.

 

Walaupun dilanda badai dan taufan sekalipun ia tetap tidak terusik dan terus tetap pendirian.

 

Bertekadlah setia kepada parti, bersatu padu demi perpaduan dan kesejahteraan rakyat.

 

Latifah Shariff,
Kuala Lumpur