Jangan tertipu serah maklumat peribadi BigPay | DagangNews Skip to main content

Jangan tertipu serah maklumat peribadi BigPay

BigPay

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Orang ramai diingatkan agar tidak mudah tertipu dengan penyamaran yang sedang berleluasa membabitkan aplikasi pengurusan kewangan fintech, BigPay.

BigPay dalam satu kenyataan berkata, jenayah tersebut dilakukan dengan penyamaran sebagai kakitangan syarikat, mewakili syarikat atau syarikat yang berkaitan dengan BigPay untuk menawarkan hadiah berupa wang tunai.

Wang berkenaan bagaimanapun hanya boleh dituntut setelah menerima maklumat peribadi seperti PIN Kata Kunci Sekali Sahaja (OTP) daripada penerima panggilan.   

"Kami ingin menjelaskan dan menasihatkan orang awam untuk tidak berkongsi sebarang maklumat sulit seperti kata laluan, OTP dan nombor kad pengenalan kepada sesiapa sahaja melalui sebarang panggilan telefon atau mesej yang mungkin diterima terutamanya dari WhatsApp.

"BigPay ingin menekankan bahawa syarikat dan kakitangannya sama sekali tidak mempunyai penglibatan dengan amalan penipuan ini dan tidak pernah melakukan permintaan sedemikian.

"BigPay tidak mempunyai akaun perniagaan WhatsApp rasmi dan tidak berkomunikasi dengan penggunanya melalui mana-mana aplikasi sembang. Semua pengumuman rasmi BigPay akan diumumkan di laman rasmi BigPay dan media massa," jelas BigPay.

Dalam kenyataan yang sama, BigPay turut memberitahu pihaknya telah melaporkan nombor-nombor WhatsApp yang dipakai oleh penipu kepada pihak berkuasa bagi tujuan keselamatan.

Pihaknya juga turut bekerjasama dengan pihak berkuasa termasuk Bank Negara Malaysia dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman untuk membanteras penipuan berkenaan.

BigPay juga telah melatih sistem pembelajaran mesinnya untuk mengesan atau memberi amaran terhadap tingkah laku penipuan, menyekat akaun BigPay oleh penipu secara sistematik, serta memperkukuhkan syarat penetapan kata laluan dengan menambah ciri pengesahan dua langkah dan terus menambah baik ciri-ciri sedia ada untuk melindungi pengguna BigPay.

"BigPay tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau kumpulan yang menggunakan jenama airasia untuk melakukan penipuan atau kecurian identiti.

"Orang ramai diingatkan bahawa BigPay tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang tuntutan berikutan penipuan ini yang tidak melibatkan kakitangan rasmi syarikat," tambah BigPay lagi. - DagangNews.com