KUALA LUMPUR 14 Okt. - Invenst Selangor Bhd. (Invest Selangor) memutuskan untuk menurunkan jangkaan pelaburan di negeri Selangor bagi tahun 2020 kepada RM8.5 bilion.
Jangkaan tersebut diturunkan berbanding jangkaan awal sebanyak RM12 bilion yang diumumkan awal tahun ini.
Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana dan Pengangkutan Selangor, Datuk Teng Chang Kim berkata, penurunan tersebut dibuat disebabkan oleh penularan wabak COVID-19.
"Pada 30 Jun lalu, Selangor telah berjaya memperoleh pelaburan bernilai RM3.3 bilion.
"Namun, terdapat pelaburan bernilai RM5 bilion yang masih belum diselesaikan.
"Oleh itu, kami percaya pada akhir tahun ini, akan ada sekurang-kurangnya RM5 bilion pelaburan lagi yang akan dipersetujui. Ini bermaksud kami perlu jangkakan sekitar RM8.5 bilion pelaburan yang akan dipersetujui untuk Selangor," jelasnya dalam satu sidang akhbar maya selepas pelancaran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2020 (SIBS2020), lapor The Edge.
Pada 2019, Selangor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM17 bilion.
Selangor mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi pada 2018 iaitu sebanyak RM18.9 bilion.
Jumlah tersebut adalah pelaburan tertinggi sepanjang 25 tahun.
Tambah beliau, jangkaan lebih rendah yang diletakkan pada 2020 itu sudah memadai jika dilihat dengan kesan wabak.
"Sekiranya kita mampu mencapai jumlah RM8.5` bilion itu, ia sudah cukup beruntung pada saya.
"Kita harus berpuas hati dengan jangkaan ini memandangkan negara kita berdepan dengan wabak COVID-19 yang memberi kesan kepada ekonomi," tambahnya.
Invest Selangor juga akan terus mengfokuskan kepada lima kelompok sektor yang disasarkan dalam Pelan Induk Perindustrian Selangor itu mesin, pengangkutan, makanan dan minuman (F&B) sains hayat serta elektrik dan elektronik (E&E). - DagangNews.com