Jawatankuasa ditubuh pantau PKP, PKPB, PKPP | DagangNews Skip to main content

Jawatankuasa ditubuh pantau PKP, PKPB, PKPP

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Satu jawatankuasa peringkat tinggi yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara bersama Menteri Tugas-Tugas Khas telah dibentuk untuk memastikan pelaksanaan langkah pemerkasaan komuniti dengan lebih berkesan.

 

Bersama-sama pengumuman itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru pemimpin-pemimpin masyarakat atau community leaders untuk menjaga dan melindungi komuniti masing-masing daripada menjadi tempat penularan jangkitan COVID-19. 

 

“Tempoh dua minggu yang akan datang ini amatlah penting untuk bukan sahaja diri kita tetapi juga seluruh negara. Semua kebebasan yang kita korbankan ini – terputus hubungan dengan rakan-rakan, berada di dalam isolasi di rumah, dan kesukaran untuk melakukan aktiviti sosial di luar – akan mampu menyelamatkan nyawa kita semua.\

 

“Virus ini telah pun berada di dalam komuniti dan hidup bersama kita. Janganlah kita merasa terlalu selesa dan akhirnya mengabaikan langkah-langkah pencegahan yang begitu mudah untuk kita amalkan seperti kerap mencuci tangan dengan sabun, memakai pelitup muka dengan betul, jaga jarak fizikal dan elakkan dari bersentuhan.

 

“Anda semua adalah frontliners di dalam komuniti anda dalam perjuangan melawan virus ini. Jalinkan kerjasama dengan pejabat kesihatan daerah, klnik-klinik kesihatan komuniti dan juga majlis daerah untuk mendidik warga komuniti anda supaya mereka juga tahu bagaimana cara terbaik untuk mencegah jangkitan COVID-19 ini,” katanya dalam perutusan khas hari ini. 

 

Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan PKP untuk tempoh 14 hari bemula jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021.

 

Langkah ini akan dilaksanakan secara berperingkat, di mana  PKP dikenakan ke atas enam  buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah. 

 

Kedua, PKPB ke atas enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan. 

 

Ketiga, PKPP pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.  - DagangNews.com