KUALA LUMPUR 22 Jan - Kerajaan bertekad untuk memastikan pelaksanaan yang teratur bagi kesemua strategi yang telah digariskan di dalam Bajet 2022, menerusi penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2022 (JPB 2022).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, JPB 2022 bertujuan memantau pelaksanaan dan prestasi inisiatif-inisiatif di bawah Bajet 2022, serta mencadangkan penyelesaian, intervensi dan perubahan polisi yang sesuai bagi memastikan pelaksanaan sempurna Bajet 2022.
Beliau berkata, proses pemantauan juga akan melibatkan kerjasama rapat dengan kementerian dan agensi pelaksana bagi memastikan penyaluran manfaat Bajet 2022 dan penyampaian perkhidmatan awam yang efisien dan efektif.
"Selain itu, JPB 2022 juga akan meneliti tahap keberhasilan inisiatif-inisiatif di bawah Bajet 2022 dan akan mempertimbangkan semula jumlah peruntukan bagi inisiatif-inisiatif yang berkaitan, jika perlu.
"Pakar-pakar industri dan subject matter experts akan dijemput menghadiri mesyuarat JPB 2022 untuk memberi maklumbalas profesional, jika perlu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pembentangan Bajet 2022 bernilai RM332.1 bilion adalah bagi memastikan kesejahteraan rakyat, sektor perniagaan yang berdaya tahan dan memacu pertumbuhan ekonomi yang makmur dan mampan.
Ismail Sabri berkata, kerajaan juga mengalu-alukan maklum balas daripada rakyat, sektor perniagaan dan masyarakat sivil mengenai pelaksanaan Bajet 2022.
Katanya, maklum balas boleh dikongsi melalui talian ‘hotline’ 03-88824666.
Beliau berkata, berkaitan dengan bencana banjir yang meninggalkan impak yang lebih teruk dari tahun-tahun sebelum ini, kerajaan ingin menegaskan bahawa pelaksanaan agenda kelestarian juga telah diberi perhatian khusus di dalam penyediaan Bajet 2022.
"Sehubungan itu, Bajet 2022 telah memperuntukkan antara lainnya, sejumlah RM450 juta bagi pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar dan biodiversiti, dan penerbitan Sukuk Kelestarian bernilai RM10 bilion bagi mencapai strategi pembangunan mampan negara.
"Kerajaan juga berharap agar semua segmen Keluarga Malaysia akan bekerjasama di dalam menjayakan pelaksanaan langkah-langkah Bajet 2022 bagi kesejahteraan kita bersama," katanya. - DagangNews.com