Jawatankuasa Pertukaran Pegawai PBT diwujudkan, elak risiko gejala rasuah dan Little Napoleon di lapangan - PM | DagangNews Skip to main content

Jawatankuasa Pertukaran Pegawai PBT diwujudkan, elak risiko gejala rasuah dan Little Napoleon di lapangan - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR), hari ini.
oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Pertukaran Pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi mengelakkan risiko gejala rasuah dalam kalangan pegawai yang lama berkhidmat di sesebuah PBT. 

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi jawatankuasa itu, pegawai PBT yang telah berkhidmat di tempat yang sama dalam tempoh yang lama boleh ditukarkan ke PBT yang lain dan satu garis panduan akan dikeluarkan kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) agar perkara itu dilaksanakan di seluruh negara.

 

"JKKMAR juga membuat ketetapan dalam usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan, menambah baik tadbir urus PBT, memperkukuhkan elemen integriti, memberi peluang mobiliti serta meningkatkan aspek pengalaman, akauntabiliti dan kredibiliti bagi mengelakkan risiko gejala rasuah dan salah guna kuasa, kewujudan Little Napoleon di peringkat lapangan dan pusingan kerja yang terhad," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, Mekanisme Perisytiharan Harta Anggota Pentadbiran, Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan diperkukuhkan bagi memantapkan kredibiliti dan integriti pentadbiran kerajaan. 

 

Beliau berkata, pindaan dan penambahbaikan Kod Etika Bagi Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen sedia ada akan dilaksanakan dengan kod etika baharu akan diperkenalkan kepada mereka dalam Akta 347 dengan mengambil kira pengekalan prinsip pengasingan kuasa badan eksekutif dan legislatif. 

 

"Mesyuarat turut bersetuju agar Ketua Pegawai Eksekutif daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) termasuk ahli Badan Kehakiman perlu mengisytiharkan harta kepada pihak SPRM.

 

pm

 

"Perincian kod etika baharu itu akan dibentangkan semula oleh SPRM pada mesyuarat akan datang," katanya.

 

Perdana Menteri berkata, mesyuarat turut bersetuju melaksanakan Pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) oleh Jabatan Audit Negara bagi memperkasa profesionalisme dan menjamin kebebasan peranan Ketua Audit Negara dan pindaan itu melibatkan peruntukan akta bagi menghalang penglibatannya dalam aktiviti atau jawatankuasa perkhidmatan Persekutuan atau perkhidmatan negeri. 

 

Beliau berkata, mesyuarat juga membuat ketetapan untuk melaksanakan penilaian semula  hala tuju Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan peruntukan geran tahunan yang tetap melalui GIACC bagi tempoh tiga tahun bermula tahun 2023 hingga 2025, bagi tujuan pelaksanaan program pemantapan dan pengukuhan integriti di Malaysia.

 

pm

 

Selain itu Perdana Menteri berkata, mesyuarat turut dimaklumkan mengenai status terkini berkaitan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik dan ia akan dikawal selia oleh sebuah entiti bebas yang dikenali sebagai Pengawal Selia Sumbangan Politik pada peringkat persekutuan dan negeri.

 

"Pandangan pihak-pihak berkepentingan termasuk parti-parti politik turut diambil kira berkaitan perincian RUU tersebut sebelum dibentang untuk bacaan pertama semasa Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat akan datang," katanya. - DagangNews.com