Jawatankuasa teknikal ditubuh lindungi syarikat Malaysia dalam sektor komoditi - Johari Ghani | DagangNews Skip to main content

Jawatankuasa teknikal ditubuh lindungi syarikat Malaysia dalam sektor komoditi - Johari Ghani

Johari Ghani dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengadakan perbincangan di Putrajaya, 15 Februari 2024.

KUALA LUMPUR 16 Feb - Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah mewujudkan jawatankuasa teknikal untuk melindungi syarikat tempatan dalam sektor komoditi bagi mendepani isu-isu berbangkit. 

 

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata jawatankuasa teknikal tersebut akan memastikan syarikat-syarikat Malaysia dalam sektor tersebut akan dapat menjalankan perniagaan mereka serta mengeksport tanpa ada sebarang halangan dari negara luar.

 

"Hari ini saya telah mengadakan satu perbincangan yang sangat penting bersama Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk memastikan produk-produk berkaitan komoditi Malaysia yang dieksport ke luar negara tidak terjejas akibat daripada Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR).

 

"EUDR ini boleh memberi implikasi dan menjejaskan produk-produk sektor komoditi Malaysia untuk dieksport jika kita tidak mematuhinya," kata beliau dalam satu hantaran di laman X malam tadi, Bernama melaporkan.  

 

 

waionuiomata

 

 

Johari berkata nilai eksport bagi sektor komoditi Malaysia mencecah lebih RM160 bilion setahun dan ia menyumbang sebanyak 5.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menghasilkan lebih satu juta peluang pekerjaan.

 

Tambahnya, Malaysia juga berpotensi mendapat persepsi negatif di peringkat global sekiranya tidak melibatkan diri secara langsung dalam menangani isu-isu hutan dan kelestarian alam.

 

"Oleh itu, satu kerjasama yang erat melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam ialah sebagai komitmen kerajaan di peringkat Persekutuan bahawa Malaysia memenuhi peraturan-peraturan dari segi ‘deforestation, traceability & geolocation’ (penebangan hutan, kebolehkesanan & lokasi geo)," kata Johari.  - DagangNews.com