Jaya Grocer, Grab lancar siri produk eksklusif Village Park Nasi Lemak Sambal | DagangNews Skip to main content

Jaya Grocer, Grab lancar siri produk eksklusif Village Park Nasi Lemak Sambal

(Dari kiri) Datin Seri Aishah Chong, Datuk Seri Mohd Shamil Ngoh Abdullah dan Adelene Foo pada pelancaran produk eksklusif Village Park Nasi Lemak Sambal di Starling Mall, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Mei - Jaya Grocer bekerjasama dengan Grab Signature Brands melancarkan siri produk eksklusif Village Park Nasi Lemak Sambal, di bawah produk label persendirian pasar raya tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer, Adelene Foo berkata, kerjasama tersebut adalah sebahagian usaha pihaknya untuk terus meningkatkan kualiti pengalaman membeli-belah dengan menawarkan produk istimewa yang sukar didapati di tempat lain. 

 

Katanya, idea di sebalik Label Persendirian Jaya Grocer untuk membawa jenama-jenama terkemuka yang digemari rakyat Malaysia ke platformnya.

 

"Dengan berbuat demikian, bukan sahaja kami dapat mengembangkan penawaran produk eksklusif keluaran Jaya Grocer, tetapi juga menjadikannya lebih mudah didapati dan dinikmati.

 

"Sehubungan itu, kami telah merancang lebih daripada setahun untuk merealisasikan matlamat ini. Kami amat teruja untuk membawa sambal pertama daripada Village Park Nasi Lemak Sambal kepada pelanggan di rak rangkaian Jaya Grocer," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Label Persendirian Jaya Grocer telah dipilih dengan teliti bagi memenuhi citarasa dan kualiti yang diharapkan pelanggan melalui Grab Signature Brands, koleksi restoran dan rakan kongsi peniaga yang digemari di GrabFood. 

 

Sebagai salah sebuah perniagaan nasi lemak terlaris di GrabFood, pelancaran sambal sedia dimakan ini amat bersesuaian dengan Restoran Village Park.

 

jayagrocer

 

 

Adelene berkata, sebagai rangkaian pasar raya premium, pihaknya ingin terus berinovasi dan mempertimbangkan cara untuk menawarkan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan. 

 

"Pelancaran produk Label Persendirian Jaya Grocer adalah titik permulaan inisiatif ini," katanya.

 

Terdahulu, majlis pelancaran juga dimeriahkan dengan kehadiran Pengasas Village Park Nasi Lemak, Datuk Seri Mohd Shamil Ngoh Abdullah, yang telah memulakan perniagaannya pada 2002 bersama isterinya, Datin Seri Aishah Chong.

 

Pelanggan setia restoran beliau menggemari citarasa Village Park Nasi Lemak Sambal yang tradisional dan menyelerakan serta sesuai dinikmati dengan mi atau nasi selain daripada nasi lemak. 

 

Setiap balang 225ml berharga RM17.90 dan boleh didapati mulai 15 Mei 2023 di semua cawangan Jaya Grocer atau melalui saluran atas talian, GrabMart.

 

Dengan setiap pembelian Village Park Nasi Lemak Sambal, para pelanggan boleh memperoleh mata ganjaran GrabRewards melalui program Keahlian Jaya Grocer yang diperkenalkan oleh Grab. Akses kepada program keahlian adalah melalui aplikasi mudah alih Grab. - DagangNews.com