JC3 lulus penerbitan laporan tangani keperluan data iklim, persekitaran - BNM dan SC | DagangNews Skip to main content

JC3 lulus penerbitan laporan tangani keperluan data iklim, persekitaran - BNM dan SC

KUALA LUMPUR 7 Dis - Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3), platform untuk melaksanakan tindakan kerjasama bagi membangunkan daya tahan iklim sektor kewangan Malaysia, meluluskan penerbitan Katalog Data (DC) dan laporan iringan mengenai ketersediaan dan jurang data serta cadangan menangani jurang data. 

 

Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam kenyataan bersama hari ini berkata, penerbitan DC yang diluluskan dalam mesyuarat kesembilan JC3 pada 2 Disember 2022 adalah langkah mustahak bagi menangani keperluan data yang sangat penting bagi sektor kewangan.

 

Ia akan menjadi sumber rujukan mengenai ketersediaan dan kebolehcapaian data iklim dan persekitaran berdasarkan senarai keutamaan kes penggunaan sektor kewangan.

 

"DC menyerlahkan jurang data yang penting, dengan hanya 49% item data yang diperlukan untuk kes penggunaan keutamaan, tersedia pada masa ini.

 

"Daripada jumlah ini, sebahagian besar data yang tersedia tidak mempunyai butiran yang mencukupi, manakala data semasa yang ada tidak mudah diakses atau dibandingkan.

 

“Susulan penerbitan DC, JC3 akan menumpukan usaha pada 2023 untuk bekerjasama dengan penyedia data yang berkaitan bagi menyelesaikan isu kebolehcapaian data serta meningkatkan kualiti, kebolehbandingan dan ketekalan sumber data sedia ada,” menurut kedua-dua pihak berkenaan.

 

Berikutan jurang data yang ketara, BNM dan SC berkata, JC3 turut bersetuju untuk bekerjasama dengan penyedia data utama mengenai strategi mengurangkan jurang data secara ketara dengan mengambil kira perkembangan tempatan dan global mengenai kemampanan dan penzahiran berkaitan iklim.

 

Menurutnya, sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kewangan hijau dan mampan, JC3 telah membincangkan rancangan untuk membangunkan dan melancarkan beberapa program rintis pada 2023 yang akan diberikan keutamaan di bawah jawatankuasa kecil produk dan inovasi.

 

Timbalan Gabenor BNM dan Pengerusi Bersama JC3, Jessica Chew berkata, bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pelancaran program Penghijauan Rantaian Nilai oleh BNM dengan kerjasama JC3 baru-baru ini merupakan contoh projek rintis untuk membantu PKS melaksanakan perubahan jangka panjang dalam usaha menghijaukan operasi mereka.

 

“JC3 akan secara aktif mengusahakan lebih banyak projek rintis yang memberikan impak tinggi terhadap peluasan kewangan mampan dan kewangan peralihan, termasuk projek yang boleh mewujudkan kesan contoh positif dan seterusnya membangunkan ekosistem untuk kewangan mampan dan kewangan peralihan.

 

“Inisiatif ini merupakan langkah penting untuk Malaysia mencapai sifar bersih menjelang 2050,” katanya. - DagangNews.com