Jeffrey Cheah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat UKM | DagangNews Skip to main content

Jeffrey Cheah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat UKM

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Nov - Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah menerima Ijazah Doktor Kehormat daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai penghargaan terhadap usahanya dalam bidang pendidikan kesihatan yang mampan.

 

Anugerah itu disampaikan oleh Cancelor UKM, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada majlis konvokesyen ke-49 universiti itu.

 

"Ia merupakan satu penghormatan untuk menerima Ijazah Doktor Kehormat ini daripada universiti tertua di Malaysia selain menjadi universiti yang berada di kedudukan ranking tertinggi di dunia dalam kalangan institusi pendidikan di negara ini.

 

"Sunway University terlibat dengan beberapa badan antarabangsa dalam mengetuai agenda kelestarian di rantau ini dan kami sangat teruja apabila UKM turut melibatkan diri dengan kami dalam agenda ini," kata Jeffrey dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Dalam majlis itu, UKM turut menyuarakan hasrat untuk membentuk kerjasama dengan Sunway University dalam meneruskan agenda kelestarian untuk negara ini.

 

"Kami mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah atas pengiktirafan melalui Ijazah Doktor Kehormat dalam bidang pendidikan kesihatan dan kelestarian. 

 

sunway

 

"Kami berharap kerjasama kedua-dua institusi pengajian tinggi ini akan memberikan penyelesaian lestari pada masa akan datang," kata Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Dr. Raja Affendi Raja Ali.

 

Sebelum ini, Jeffrey pernah dianugerahkan 11 Ijazah Doktor Kehormat daripada universiti terkemuka di seluruh dunia.

 

Menerusi kepemimpinan Jeffrey, Kumpulan Sunway berkembang menjadi antara konglomerat terbesar di rantau Asia Tenggara dengan operasi syarikat di lebih 50 kawasan menerusi 13 bidang perniagaan merangkumi hartanah, pembinaan, pendidikan, penjagaan kesihatan, peruncitan dan hospitaliti yang bernilai hampir RM15 bilion. 

 

Beliau juga merupakan Pemegang Amanah bagi Yayasan Jeffrey Cheah yang berjaya memberikan biasiswa melebihi RM570 juta dan beliau mempunyai sasaran peribadi untuk memberikan biasiswa melebihi RM1 bilion untuk tempoh sepanjang hayat. 

 

Dalam usaha membolehkan pelajar Malaysia mendapat pendidikan bertaraf dunia, beliau memainkan peranan penting dalam menjalinkan kerjasama dengan beberapa universiti ternama dunia termasuk University of Cambridge, Harvard University, University of Oxford, MIT Boston dan UC Berkeley.-Dagangnews.com