Jelajah AKM: Jarak bukan penghalang siswazah sertai Karnival Jamin Kerja Keluarga Malaysia | DagangNews Skip to main content

Jelajah AKM: Jarak bukan penghalang siswazah sertai Karnival Jamin Kerja Keluarga Malaysia

Pencari kerja terutama siswazah memanfaatkan peluang menghadiri  Karnival Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang dianjurkan bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Sabah. - Gambar- Bernama.

KOTA KINABALU 21 Mei - Karnival Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang dianjurkan sempena siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Sabah menjadi medan terbaik kepada pencari pekerjaan terutama dalam kalangan siswazah negeri ini untuk mendapatkan pekerjaan.

 

Perjalanan jauh dari daerah lain ke bandar raya itu bukan penghalang kerana ada yang sanggup datang dari Beluran dan Keningau bagi mencari pekerjaan dan mengubah nasib keluarsa masing-masing.

 

Nlyntika Agustine, 24, dari Keningau berkata, semangat untuk membina kerjaya mendorongnya menghadiri karnival kerjaya itu dan memanfaatkan sepenuhnya peluang tersebut dengan menghantar tiga permohonan pekerjaan kepada tiga syarikat.

 

“Saya datang dari Keningau seorang diri pada Rabu lepas semata-mata untuk ke karnival kerjaya ini. Buat sementara waktu ini, saya menumpang di rumah kawan untuk memudahkan pergerakan ke sini.

 

“Saya tidak kisah apa pun jawatan diberikan asalkan saya dapat kerja,” katanya yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewangan.

 

Sementara itu, Khairul Izham Jamri, 26, dari Beluran berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk menghadiri Karnival Jamin Kerja Keluarga Malaysia selepas mengetahui penganjuran program itu pada Selasa lepas.

 

AKM
Karnival Jamin Kerja Keluarga Malaysia menjadi tarikan di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Sabah. -Gambar- Bernama.

 

“Saya ingin mencuba (menghantar permohonan pekerjaan)… mana tahu ada rezeki, sekiranya ada, boleh senangkan kedua ibu bapa. Ini satu program yang bagus apatah lagi sekarang susah hendak cari pekerjaan,” katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sejarah dari Universiti Malaysia Sabah.

 

Harmika Hasim, 25, yang berkongsi pandangan sama berkata karnival kerjaya itu merupakan platform terbaik bagi memudahkan para pencari kerja terutama dalam kalangan siswazah memandangkan semua majikan dihimpunkan dalam satu kawasan, malah boleh terus mengikuti sesi temu duga secara langsung.

 

AKM
Orang ramai tidak melepaskan peluang menyertai Karnival Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang dianjurkan bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Sabah. -Gambar-Bernama.

 

Sementara itu, Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Joewell David berkata 39 majikan menyertai karnival kerjaya tersebut hingga Ahad ini dan orang ramai dipelawa untuk mengambil peluang mendapatkan pekerjaan menerusinya.

 

Karnival Jamin Kerja Keluarga Malaysia sempena siri Jelajah AKM edisi Sabah menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan daripada pelbagai sektor.

 

Sabah merupakan destinasi ketiga siri Jelajah AKM yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas diadakan di Johor dan Perlis. - DagangNews.com