Jenama elektronik TCL perluas operasi di Malaysia pada Julai 2023 | DagangNews Skip to main content

Jenama elektronik TCL perluas operasi di Malaysia pada Julai 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Jun - Dengan kehadiran di lebih 160 pasaran di seluruh dunia, jenama elektronik inovatif dari China, TCL menubuhkan operasi di Malaysia dan bersedia membawa masuk pelbagai produk jenis pertengahan hingga mewah pada Julai 2023.

 

Jenama itu dalam kenyataan hari ini berkata, untuk tawaran baharu mereka, TCL telah memperkenalkan produk pelbagai kategori terkini untuk pasaran Asia Pasifik pada acara pelancaran eksklusif di Bangkok, Thailand baru-baru ini. 

 

Katanya, daripada kualiti gambar menakjubkan pada televisyen 2023 Series C Mini LED dan QLED kepada siri penghawa dingin Gentle Cool, produk-produk tersebut akan tiba di Malaysia tidak lama lagi.

 

"Produk TCL di Malaysia sebelum ini boleh didapati melalui pengedar tempatan. 

 

"Menjelang Julai selaras dengan pelan pengembangan syarikat, TCL akan memperkenalkan pelbagai produk TV, penghawa dingin, peti sejuk dan mesin basuh yang boleh didapati menerusi saluran dalam talian seperti di platform Lazada, Shopee dan TikTok, serta pasar raya dan kedai elektronik," katanya.

 

Menurut Pengurus Besar TCL Malaysia, Carolyn Qiu, pihaknya akan memperkenalkan TV sebagai fokus utama yang didatangkan dalam Mini LED, QLED dan UHD untuk memenuhi keperluan pengguna yang berbeza sambil menawarkan pelbagai pilihan kepada mereka. 

 

"Berdasarkan maklum balas pasaran kami, membeli TV yang lebih besar  sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan rakyat Malaysia, sebab itu kami akan memberi tumpuan kepada TV bersaiz 55 inci dan ke atas, termasuk TV 85 inci dan 98 inci untuk pengguna yang berminat mencipta suasana sinematik," katanya.

 

 

tcl

 

 

Qiu berkata, kedudukan jenama TCL dikategorikan sebagai premium mampu milik, yang mana pengguna dapat menikmati produk elektronik berkualiti dan berspesifikasi tinggi dengan harga lebih rendah. 

 

Katanya, dengan teknologi canggih, produk berkualiti tinggi dan harga yang kompetitif, TCL yakin untuk bertapak di pasaran Malaysia.

 

"Rupa produk kami di kedai-kedai adalah penting, maka kami memberi perhatian bagi memastikan pengguna dapat membaca spesifikasi produk dengan jelas dan membuat perbandingan kualiti imej. 

 

 

tcl

 

 

"Kami berharap dapat memberi pengalaman hebat kepada pengguna dan memenangi kepercayaan mereka terhadap produk kami," katanya.

 

Tambahnya, syarikat itu turut akan memulakan pemasaran digital untuk membina kesedaran jenama dan produk dalam kalangan pengguna melalui media sosial, termasuk TikTok Shop. - DagangNews.com