Jentayu jamin prestasi syarikat kekal kukuh, yakin kejatuhan saham bersifat jangka pendek | DagangNews Skip to main content

Jentayu jamin prestasi syarikat kekal kukuh, yakin kejatuhan saham bersifat jangka pendek

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Jan - Jentayu Sustainables Berhad jamin prestasi syarikat kekal kukuh meskipun harga sahamnya telah jatuh mendadak, yang ia sifatkan sebagai naik turun jangka pendek dan tidak mencerminkan prestasinya yang sebenar.

 

Pada minggu lepas, syarikat yang terlibat dalam penjanaan tenaga boleh diperbaharui itu menyaksikan penurunan harga saham sebanyak 61.5% daripada harga pembukaan dagangan RM1.30 pada Rabu kepada harga penutup 50 sen pada Jumaat.

 

Bagaimanapun, saham Jentayu hari ini ditutup tinggi 4.5 sen atau 9% kepada 54.5 sen dengan permodalan pasaran berjumlah RM239.2 juta.

 

 

Jentayu

 

 

Kumpulan itu berkata, ia mengakui berdepan minggu yang mencabar di pasaran saham memandangkan ia merupakan antara lima kaunter yang jatuh kepada had bawah.

 

“Jentayu sedang dalam perjalanan mencapai sasarannya untuk prestasi kewangan mampan dengan suntikan pendapatan loji jana kuasa hidro aliran sungai Telekosang Hydro yang bersedia untuk disiapkan menjelang suku kedua 2024. Kami berbesar hati untuk maklum bahawa Telekosang Hydro telah ditauliahkan sepenuhnya pada Disember 2023.

 

“Kami juga berada di landasan yang betul seperti yang dirancang untuk melaksanakan perjanjian pembelian tenaga (PPA) bernilai RM2.8 bilion melibatkan loji jana kuasa hidro, Projek Oriole berkapasiti 170 megawatt (MW) menjelang pertengahan 2024,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, setakat 3 Januari 2024, pihak berkuasa kawal selia industri kuasa di Sabah telah dipindahkan daripada Suruhanjaya Tenaga Persekutuan (EC) kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS).

 

Susulan hal tersebut, ia mengadakan pertemuan yang menggalakkan dengan ECOS hari ini, mendorong langkah kumpulan untuk menandatangani PPA bagi Project Oriole.

 

“Perkembangan tersebut meletakkan Jentayu dalam kedudukan kewangan dan komersial lebih baik berbanding sebelum ini dan kami sangat optimis pada 2024 kerana kerja keras bertahun-tahun akan membuahkan hasil pada separuh pertama tahun ini,” tambahnya.

 

Jentayu menegaskan bahawa ia memberi jaminan kepada pelabur dan pemegang saham bahawa kejatuhan saham tidak menjejas, malah mencerminkan prestasi syarikat yang terus berkembang dan tidak akan menghalangnya untuk mencapai matlamat tahun ini seperti yang dirancang.

 

“Kami berasa rendah diri dengan kepercayaan berterusan yang ditunjukkan oleh pelabur jangka panjang dan kami tetap teguh dalam komitmen,” katanya.  - DagangNews.com